Guru wanita cedera diserang enam individiu infomalay12.blogspot.com

Imej via Facebook
SEMPORNA: Seorang guru wanita cedera di mata selepas diserang enam individu di sebuah tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kampung Sungai Buaya dekat sini minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi pada 21 Oktober lalu itu, guru wanita berkenaan dikatakan dipukul oleh empat suspek lelaki bersama dua wanita termasuk pembantu murid di tadika berkenaan.

Mangsa juga mendakwa ditampar dan dicekik selain dipukul menggunakan objek keras sehingga mengakibatkan kecederaan serta pendarahan pada mata, hidung dan bibir sebelum membuat laporan polis pada jam 10.40 malam, hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata susulan laporan itu, polis berjaya menangkap semua suspek yang berumur antara 18 hingga 60 tahun termasuk beberapa saksi, untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek terhadap guru wanita berkenaan.

“Semua mereka mempunyai hubungan persaudaraan, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk menunggu laporan pemeriksaan doktor sebelum kertas siasatan lengkap diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian yang tular di laman sosial Facebook sejak 30 Oktober lalu itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Sabarudin turut menggesa pengguna media sosial supaya tidak mengeluarkan komen yang boleh mengganggu siasatan polis di samping meminta saksi lain tampil bagi membantu siasatan.

Subscribe to receive free email updates: