‘Enough Is Enough!’ Keputusan Mahkamah Koroner hari ini menjadikan tindakan Peguam Negara yang cuba campurtangan, mempengaruhi proses, membendung serta melindungi satu perbuatan jenayah, sebagai amat bejat, memualkan dan memalukan.
Demikian tegas pengamal undang-undang, Datuk Hasnal Rezua Merican berikutan keputusan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim semalam adalah akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki Disember tahun lalu.
“Tommy Thomas, sila letak jawatan atau ambil cuti bertugas dalam tempoh 48 jam. Anda telah mencemar institusi yang fungsi utamanya mendokong keadilan, anda tidak layak menjawat kerusi yang menjunjung amanah, anda telah mengkhianati teras sistem keadilan.
“Jika tidak, seluruh gerakan sivil masyarakat meliputi parti-parti politik, NGO-NGO, gerakan-gerakan massa, badan-badan bukan siasah serta individu-individu bermaruah harus menggembeleng daya bagi mohon merafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk memecat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Prosiding inkues berhubung kematian Muhammad Adib bermula 11 Feb lepas dengan 30 saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk beberapa saksi pakar sebelum prosiding inkues ditutup pada 24 Julai lepas.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Pada 16 Julai lalu, bapa Allahyarham Adib, Mohd Kassim memfailkan permohonan perintah komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.