Pergerakan Pemuda UMNO memandang serius dan menzahirkan keraguan terhadap dakwaan YB Kasthuri Patto tentang skandal penjualan Kad Pengenalan (IC) yang kononnya telah dimulakan sejak era pentadbiran Barisan Nasional (BN), walhal beliau terlupa pada waktu tersebut juga, skandal ini telah didedahkan di Pulau Pinang yang ketika itu Kerajaan Negeri diperintah oleh Dap dari tahun 2008 lagi.
Sehubungan itu, ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi mengulangi desakan Pemuda UMNO sebelum ini untuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera ditubuhkan.
“Ironinya, Dap pernah membangkitkan sindiket penjualan IC di Sabah yang berlaku di zaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Sekiranya YB Kasthuri Pato dan DAP yakin bahawa skandal penjualan IC dibuat sejak era BN, mengapa pula Dap tidak membuat apa-apa pendedahan mengenai sindiket penjualan IC di Pulau Pinang selama ini?
“Lebih meragukan apabila Ahli Parlimen Dap sendiri iaitu YB RSN Rayer tampil menawarkan khidmat sebagai peguambela kepada suspek di dalam pertuduhan mengenai penjualan IC di Pulau Pinang baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Soal beliau, mengapakah Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, begitu bersungguh-sungguh mahu membela mereka?
“YB Kasthuri Patto sepatutnya tidak cepat melatah dan bersikap begitu ‘defensive’ kerana ia hanya menyerlahkan sandiwara Dap yang cuba mengalihkan isu, bahkan seolah-olah membenarkan spekulasi dan persepsi umum bahawa Dap yang ternyata menerima manfaat politik daripada penambahan jumlah pengundi di Pulau Pinang demi mengekalkan kuasa!”
Tegas beliau lagi, penubuhan RCI ini tentunya akan mampu menjernihkan segala polemik termasuklah tuduhan dan pelbagai persepsi yang berlegar demi memastikan Hak Kewarganegaraan Malaysia yang merupakan anugerah tertinggi negara tidak sewenangnya tergadai dek kerakusan kuasa dan agenda politik dangkal!