RAKYAT BUKAN TIKUS MAKMAL... PENCEMARAN UDARA PASIR GUDANG BERULANG LAGI infomalay12.blogspot.com







Pakatan Harapan (PH) dibidas kerana masih gagal menyelesaikan isu pencemaran udara di Pasir Gudang hinggakan ia berulang lagi.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin berkata nyawa rakyat khususnya pelajar di Pasir Gudang bukanlah tikus makmal untuk dijadikan eksperimen kepada pihak kilang.

“Saya berharap agensi yang berkaitan sama ada di peringat negeri dan Persekutuan berada dipihak yang menjadi mangsa serta membela rakyat dan bukannya menyebelahi pihak kilang yang langsung tidak memikirkan soal keselamatan dan nyawa pelajar dan penduduk di sekitar Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dilaporkan, sebelum ini Pasir Gudang dikejutkan dengan pencemaran udara sehingga mengakibatkan sejumlah besar sekolah di kawasan berdekatan terpaksa ditutup.

Kejadian ini berulang lagi pagi semalam yang menjadikan ia kali ketiga apabila seramai 29 pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail setelah mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

“Apa yang pelik, ketika hampir keseluruhan sekolah ditutup kerana pencemaran udara tersebut, punca kepada permasalahan ini iaitu kilang, langsung tidak diarahkan tutup sedangkan mereka yang menjadi punca kepada kerosakan alam sekitar Pasir Gudang.

“Apa yang amat dikesali ialah Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab adalah dari Negeri Johor sendiri tetapi gagal sama sekali menyelesaikan masalah ini secara pantas.”

Katanya, rakyat khususnya di negeri Johor sentiasa mengikuti rapat kejadian ini dan mereka secara keseluruhannya mahu pihak yang menjadi punca kepada isu ini dihadapkan ke Mahkamah dan dijatuhi hukuman yang setimpal.

“Kejadian terbaru ini sepatutnya diambil serius oleh pihak kementerian serta kerajaan negeri dengan memastikan bahawa kilang ini menghentikan operasinya dalam satu tempoh yang bersesuaian dalam memastikan kawasan di Pasir Gudang ini benar-benar selamat.

“Ini adalah kes yang ketiga selepas kawasan berkenaan diisytihar selamat dan tidak merbahaya, malahan kesan yang terjadi melibatkan pelajar sekolah yang berhampiran sekaligus menganggu proses Pembelajaran dan Pelajaran (P&P) harian. Pada minggu hadapan anak-anak darjah enam akan mengambil peperiksaan UPSR 2019.”

Tegasnya lagi, kerajaan negeri dan kementerian berwajib perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkenaan kepada pihak kilang dan hukuman yang lebih berat sekaligus memberi pengajaran kepada kilang yang terlibat.


Subscribe to receive free email updates: