PENYATUAN UMMAH MENYEMPURNAKAN MAKNA KEMERDEKAAN infomalay12.blogspot.com





KEMERDEKAAN yang dikecapi sejak 1957 adalah anugerah Ilahi yang sewajarnya disyukuri. Ia satu amanah yang perlu dipelihara dengan penuh kewaspadaan. Ternyata mengisi erti kemerdekaan lebih susah daripada menuntutnya.

Jiwa merdeka diserlahkan dengan kerukunan rakyat berbilang kaum hidup secara aman, harmonis dan toleransi tanpa provokasi melampau. Malik Bennabi pernah berpesan “Penjajahan berlaku bukan hanya disebabkan kerakusan dan kebuasan penjajah, tetapi lebih disebabkan oleh kerosakan dalaman masyarakat, masalah minda dan budaya yang menggamit, merangsang dan membuka ruang kepada penjajahan”.

Menyingkap penghijrahan Rasulullah SAW sebagai simbol dan titik tolak kemerdekaan umat Islam dengan terbentuknya negara Madinah yang menyantuni semua kaum tanpa memilih bangsa dan agama mereka. Muhajirin, Aus dan Khazraj diiktiraf dan disantuni.

Semua pihak dilindungi undang-undang di bawah kedaulatan negara Madinah. Kedudukan politik Madinah diperkuat melalui persefahaman semua pemimpin kaum dengan menyetujui perjanjian Piagam Madinah. Pembinaan negara Madinah bukan bermakna menumpang hidup dan menyusahkan orang lain, Rasulullah dan para sahabat r.a. memainkan peranan membentuk masyarakat baharu dan membina kematangan politik melalui piagam Madinah sebagai pelengkap.

Pembukaan kota Mekah pada Ramadan 8 Hijrah yang dicatatkan sebagai Ibu Kemerdekaan dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan penuh toleransi diikuti oleh Salahuddin al-Ayyubi buat pertama kalinya menguasai Baitul Maqdis. Begitu juga, ucapan Sultan Muhammad al-Fateh ketika pembukaan Kota Konstantinopel dengan penuh tawaduk dan toleransi serta tasamuh yang amat tinggi.

Menyedari Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, kerajaan terdahulu telah memberikan penekanan kepada semangat kesederhanaan, toleransi dan keseimbangan dalam menyatu kepelbagaian. Pembasmian kemiskinan dan penyusunan masyarakat dilaksanakan untuk mencapai sasaran sosioekonomi saksama sebagai pentas mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama.

Pendekatan ini menekankan aspek kesederhanaan dengan mengutamakan keadilan sosial untuk semua rakyat tanpa mengira kaum. Ini kerana kerajaan sedar tuntutan keterlaluan atas nama keterbukaan dan liberalisme menjadi ancaman kepada masyarakat dan negara.

Sayangi Malaysia: Malaysia bersih, dipilih menjadi tema hari kemerdekaan 2019. Tema yang tepat bagi menyemai kembali semangat patriotisme dan nasionalisme yang semakin pudar. Usaha perlu dilakukan secara konsisten bagi memberikan kesedaran kepada generasi muda betapa pentingnya nilai kebebasan, keamanan dan kedaulatan yang dinikmati sekarang. Mentadbir dan mencorak sendiri masa depan negara tanpa dikuasai penjajah kurang dihayati oleh generasi kini, mungkin kerana mereka lahir dan hidup selepas merdeka, tidak melalui susah payah sepertimana dialami generasi terdahulu dalam menuntut kemerdekaan.

Menjadi satu kemusykilan, apabila ada kalangan pimpinan kerajaan yang mengeluarkan kenyataan bersifat subversif yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara. Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya berlaku, tindakan tegas perlu diambil sebagai teladan kepada yang lain. Syabas kepada Pertubuhan Pembela Islam Pulau Pinang (Pembela) dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, kerana tindakan segera membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy atas kenyataannya yang berbaur hasutan.

Apa yang dibimbangi, saban hari timbul isu-isu yang berkait dengan perkauman dan provokasi melampau. Menjadi keutamaan kepada kerajaan menoktahkan kenyataan-kenyataan berbentuk penghinaan yang boleh menyemarakkan api perkauman dan berbaur hasutan. Berikan keadilan berlandaskan “rule of law” tanpa mengira agama dan bangsa, jangan pulak orang Melayu seolah-olah dianaktirikan di negara dan tanah air sendiri, sepertimana yang diungkapkan oleh Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.



Penyatuan ummah UMNO dan PAS adalah agenda bagi memaknai erti kemerdekaan. Kita tidak perlu kemerdekaan kedua tetapi mengisi kemerdekaan menjadi keutamaan melalui penyatuan ummah yang membawa maksud kesejagatan dan holistik.

Penyatuan ummah bukan bermakna hanya untuk kaum tertentu dan orang Islam sahaja tetapi ianya merangkumi semua pihak dan kaum sepertimana dibahaskan oleh tokoh-tokoh modenis Islam Ismail Faruqi, Iqbal, al-Farabi, al-Maududi, Hassan al-Banna, Muhammad Abduh dan Jamaluddin al-Afghani. Walaupun orientalis memberikan gambaran negatif konsep ummah yang menjuruskan kepada agama dan puak tertentu.

UMNO komited dan berpegang perjuangan membangun jiwa merdeka dan agenda penyatuan ummah adalah perjuangan yang belum selesai dan perlu diteruskan berpaksikan kepada Perlembagaan negara dan kontrak sosial yang telah disepakati serta menekankan toleransi dan kesederhanaan. Inilah pusaka yang akan kita tinggalkan kepada generasi akan datang sepertimana Dr. Burhanuddin Helmi (1911-1969) menggagaskan agenda kemerdekaannya melalui puisi patriotiknya:

Di atas runtuhan kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka;
Bersatu padulah seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Selamat menyambut hari Kemerdekaan ke 62, semoga Malaysia terus aman, harmonis, dirahmati dan diredhai Ilahi.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan


Subscribe to receive free email updates: