[LIPIS] PELAJAR KUDUNG KAKI RAYU BANTUAN BELAJAR infomalay12.blogspot.com






Orang kurang upaya (OKU), Wan Ahmad Amirul Adha Wan Mahzir, 20, yang bakal bergelar mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia (UPM) awal bulan depan memerlukan bantuan tambahan untuk membayar yuran pendaftaran dan menyediakan keperluan serta pakaian baharu.

Dia yang kudung kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada 2011 juga memerlukan kaki palsu baharu kerana yang lama tidak lagi sesuai dan sepadan digunakan berikutan saiz anggota bahagian paha yang disambung itu membesar.

"Saya baru sahaja memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan berterima kasih dengan sumbangan dari Pejabat Dewan Udangan Negeri Padang Tengku kelmarin. Bolehlah saya menampung belanja peralatan dan tambang bas ke UPM," katanya di Kampung Petola dekat sini semalam.

Dia kehilangan kaki kanannya setelah dilanggar sebuah lori ketika membonceng motosikal emak saudaranya ke Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak ketika hari pertama mendaftar persekolahan Tahun Lima pada 2011.

Menurut Wan Ahmad Amirul Adha, walaupun gembira dan bersemangat mendaftar sebagai penuntut UPM awal bulan depan, tetapi dia masih tidak yakin serta risau untuk menempuh kehidupan baharu berjauhan dengan keluarga.

Hal demikian kerana katanya, dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat malahan pergerakannya terbatas terutama semasa hendak menggunakan tangga.

"Saya akan menguatkan semangat untuk menempun semua cabaran dan akan berusaha bersungguh-sungguh kerana menyedari pendidikan wajar didahulukan untuk menjamin masa depan," ujarnya.

Katanya, statusnya sebagai OKU menguatkan keazaman untuk belajar bersungguh-sungguh dengan dorongan ibunya, Ainun Yusoh, 49, yang juga sebagai ketua keluarga sehingga diterima masuk ke UPM dalam bidang pengajian Kesusasteraan Melayu.

Dia berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masayrakat (JKM) kerana memberikan bantuan bulanan sebanyak RM350 yang digunakan untuk belanja sekolah dan kebajikan diri.

"Saya sangat memerlukan bantuan untuk membeli peralatan dan pakaian baharu sebagai persiapan ke UPM termasuk membiayai kebajikan di sana. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ibu yang cuma menoreh getah" katanya.

Sementara itu, Ainun yang berstatus ibu tunggal berkata, sehingga kini dia dan anaknya belum lagi membuat persiapan membeli beg pakaian termasuk pakaian baharu dan keperluan tertentu untuk dibawa ke UPM.

"Wang hasil torehan getah yang tidak seberapa termasuk sedikit simpanan yang ada akan saya gunakan secara ala kadar untuk menyediakan keperluan anak ke sana.

"Saya sendiri akan menghantar Wan Ahmad Amirul Adha mendaftar ke UPM dengan menaiki bas di bandar Kuala Lipis kerana tidak mampu menyewa kenderaan lain," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Wan Ahmad Amirul Adha di talian 0135075962 atau menerusi akaun CIMB bernombor 7629167400.


Subscribe to receive free email updates: