Polemik EXCO Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, yang mendakwa pencemaran najis burung merpati mungkin antara faktor sampingan yang menyebabkan insiden gangguan kesihatan, termasuk sesak nafas dan muntah, di sekolah di Pasir Gudang berakhir hari ini.
Ini memandangkan Menteri Kesihatan, DS Dr Dzulkefly Ahmad, berkata mana-mana pihak mahu memberi pandangan berhubung kejadian itu perlu kembali kepada hasil penemuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diumumkan sebelum ini. Kata beliau,
Pernahkah kami sebut mengenai najis burung merpati? Tidak pernah. Justeru, kembali kepada apa yang kami sebut, tanpa (kami menghalang) sesiapa memberi komen dan pandangan. Kementerian terus memantau perkara ini.
Sebelum ini, kami mengesan bahan ‘volatile organic compounds’ tetapi kejadian ini tidak sama dengan (kes pencemaran) Sungai Kim-Kim yang mana ramai dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Kami kembali kepada dapatan yang diperoleh secara keputusan makmal dan simptom pesakit. EXCO Johor itu (hanya) memberi pandangan.
Diharap selepas ini Menteri Besar dan EXCO beliau tidak perlu memandai memberi pendapat sehingga perlu Menteri Kesihatan membuat u-turn. Kita juga tertanya-tanya ke mana menghilangnya Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang secara tiba-tiba menyepikan diri daripada isu pencemaran udara di Pasir Gudang.