EMPAT REALITI POLITIK SEMASA NEGARA UNTUK LIM KIT SIANG FAHAMI infomalay12.blogspot.com






Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggariskan empat realiti politik negara untuk Penasihat Dap, Lim Kit Siang fahami.

Ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook, realiti yang pertama ialah dalam ekosistem demokrasi, semua orang bebas berpendirian.

“Mengapa beliau amat berang apabila UMNO dengan tegas berprinsip untuk tidak bekerjasama dengan Dap atau mana-mana parti yang bekerjasama dengan Dap.

“Itu adalah pendirian UMNO dan majoriti orang Melayu. Beliau seharusnya akur bahawa Dap akan dan telah ditolak secara besar-besaran oleh bangsa ini,” tegasnya.

Manakala realiti kedua, penyatuan UMNO dan PAS adalah satu usaha yang praktikal.

“Orang Melayu berkongsi agama, budaya dan identiti yang asasnya sama. Maka mengapa harus diperkecilkan penyatuan dan kerjasama ini?

“Sudah tiba masanya orang Melayu membentuk satu pakatan politik yang utuh dan berpadu dalam mempertahankan serta yang lebih penting memakmurkan kepentingan-kepentingan strategik mereka di Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khaled berkata bagi realiti ketiga ialah Kit Siang seharusnya akur bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang menjadi semakin tidak popular hari demi hari.

“Menurut Merdeka Centre, ‘approval rating’ PH semakin menurun sejak Disember 2018 lagi, dalam kalangan pengundi Melayu, Cina dan India,” ujarnya.

Realiti terakhir yang harus dihadam oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu jelas Khaled ialah Dap semakin hari semakin biadab untuk menjadikannya relevan dalam konteks politik semasa.

“Tatkala menyedari undi orang Melayu amat penting, dan politik berasaskan kaum serta agama tidak akan berakhir dalam Malaysia Baru.

“Sehinggakan isu penarikan ratifikasi ‘International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination’ (ICERD) itu dimainkan semula,” bidasnya.


Subscribe to receive free email updates: