Bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membidas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Dalam hantaran di Facebook, Najib menimbulkan persoalan adakah menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga Lembaga Tabung Haji itu faham apa yang sedang berlaku kepada prestasi Tabung Haji kini.
“Dia kata prestasi dan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji bagi separuh pertama tahun 2019 semakin baik.
“Tapi saya tengok keuntungan bersih untuk suku kedua tahun 2019 turun kepada RM375 juta dari RM440 juta pada suku pertama.
“Jumlah keuntungan bersih Tabung Haji untuk separuh pertama tahun 2019 hanya 49.8% berbanding seluruh tahun 2018 dan 23.9% dari keuntungan tahun 2017,” katanya yang turut berdoa agar prestasi terbaik Tabung Haji perolehi.
Malah jelas Najib lagi, pendapatan separuh pertama tahun 2019 yang berjumlah RM1.3 bilion hanya 30.9% berbanding seluruh tahun 2018.
“Ia juga hanya 28.4% dari pendapatan seluruh tahun 2017.
“Nilai aset Tabung Haji juga telah jatuh RM2.5 bilion kepada RM74 bilion pada akhir bulan Jun 2019 berbanding RM76.5 bilion pada akhir tahun 2018,” ujarnya.
Mengulas lanjut Najib berkata, itu bermakna prestasi Tabung Haji masih lembab berbanding tahun 2018 di mana Hibah 1.25% iaitu paling rendah dalam sejarah diumumkan.
“Ia juga sangat lemah berbanding tahun 2017 di bawah Barisan Nasional (BN) di mana Hibah 6.25% diberi.
“Mujahid faham ke semua ini?
“Asyik kata baik tapi data tunjuk masih lembab,” tegasnya.
Dalam satu lagi status di Facebook, mengulas mengenai isu Tabung Haji juga, komen penyokong PH yang menuduh BN apabila diberi amanah untuk menjaga Tabung Haji, tetapi tidak tunaikan menarik perhatian Najib.
“Saya beri sedikit fakta kepada sahabat-sahabat untuk menilaikan. Sepanjang tempoh saya PM, purata kadar hibah tahunan Tabung Haji adalah 6.75%.
“Paling rendah ialah kadar 5% pada tahun 2009 iaitu tahun pertama saya jadi PM. Paling tinggi adalah 8.25% pada tahun 2015.
“Tahun sebelum PRU14 iaitu tahun 2017, kadar Hibah ialah 6.25%,” katanya.
Begitu juga katanya sepanjang tempoh tersebut juga, pasaran saham Malaysia diiktiraf dunia sebagai ‘world’s longest bull-run market’ iaitu pasaran saham yang menaik untuk tempoh paling lama.
“Tak sama dengan PH yang menjadikan pasaran saham kita kepada paling corot dalam dunia sehingga Tabung Haji rugi teruk dan Hibah turun ke 1.25% untuk tahun 2018.
“Nilai aset Tabung Haji juga naik 3.5 kali ganda dalam tempoh saya PM.
“Naik dari RM21.1 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM74 bilion pada akhir tahun 2017,” jelasnya.
Manakala sepanjang tempoh pentadbiran Najib, kerajaan juga memberi banyak peluang dan projek untuk Tabung Haji menjana keuntungan.
“Sepanjang tempoh ini juga, tidak ada seorang pencarum yang layak mengeluarkan simpanan mereka ditolak atau dinafikan.
“Tabung Haji turut mendapat kuota Haji tambahan setiap tahun bermula tahun 2010 kerana hubungan baik kita dengan Arab Saudi.
“Kuota Haji tambahan untuk tahun 2019 ini belum pasti lagi kerana masih tidak dilulus oleh Arab Saudi,” katanya.
Ketika zaman BN, Tabung Haji juga mempertingkatkan perkhidmatan mereka kepada Jemaah setiap tahun termasuk membina Kompleks Tabung Haji KLIA yang besar dan selesa, tambahnya.
“Malah, kos tunaikan Haji dari Tabung Haji juga tak pernah naik sepanjang tempoh ini.
“Masih kekal RM9,980 seorang sejak tahun 2009.
“Ramai Jemaah juga yang kerajaan BN sponsor untuk tunaikan Haji secara percuma,” terangnya lagi.
Ujar Najib lagi kesemua itu bukan hanya untuk setahun sahaja tetapi konsisten untuk tempoh sepanjang sembilan tahun.
“Amanah apa untuk Tabung Haji yang kita tak tunaikan? soalnya.