Sekolah diminta tangguh aktiviti luar kelas - Maszlee infomalay12.blogspot.com

CYBERJAYA: Pihak pengurusan sekolah diminta menangguhkan program luar kelas susulan cuaca panas dan kering yang berterusan di beberapa negeri di utara dan Pantai Timur Semenanjung.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata surat peringatan sudah dikeluarkan kepada semua sekolah pada pertengahan Februari lalu.

Katanya, surat peringatan itu diedarkan kerana kebanyakan sekolah akan mengadakan acara sukan tahunan bermula minggu depan.

“Kita minta sekolah supaya tidak menganjurkan program luar ketika cuaca panas yang sedang melanda ketika ini.

“Saya juga meminta ibu bapa menasihatkan anak masing-masing untuk sentiasa minum air yang banyak bagi mengawal suhu badan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kelab UNESCO dan Model United Nations (MUN) di Sekolah Seri Puteri di sini, hari ini.

Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan fenomena cuaca panas itu dijangka akan berlanjutan sehingga akhir Mac ini.
Sementara itu, dalam majlis berasingan, Maszlee menggalakkan syarikat swasta untuk mengikut jejak langkah restoran makanan segera, Mcdonald’s yang mengadakan program menghargai pengorbanan guru.

“Guru adalah tulang belakang sistem pendidikan negara, wajar untuk mereka menerima pengiktirafan istimewa sebegini.

“Diharapkan Anugerah Guru Inspirasi Mcdonald’s ini mampu memberi dorongan kepada guru untuk melakukan yang terbaik sama ada di dalam atau luar kelas,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: