Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan mengapa setiap kali bercakap berkaitan Melayu dan Islam akan dituduh rasis.
Jelas beliau, adakah Malaysia baru yang dikatakan membuka pintu kepada semua kebebasan, tiba-tiba mengklasifikasikan sekiranya bercakap kepada menyeru ke arah kebaikan, bercakap kepada penyatuan orang Melayu dan orang Islam kembali semula ke pangkal jalan agar berpegang kepada tali Allah, itu merupakan satu perkauman.
“Saya berasa terguris hati kerana semasa majlis memperkenalkan calon, saya telah ditanya satu soalan… Dia bertanya adakah Datuk akan terus berkempen di Semenyih ini seperti Datuk berkempen di Cameron Highlands. Saya kata apa.. dia kata Datuk berkempen di Cameron atas asas perkauman, asas orang Melayu dan Islam.
“Saya kata bila pula saya berasaskan perkauman. Apakah dalam negara ini dalam kerajaan Malaysia baru ini bercakap soal Melayu dan Islam dikatakan itu merupakan satu perkauman? Saya tanya dia… sejak bila negara ini menyalahi undang-undang jika saya minta orang Melayu bersatu.
“Sejak bila undang-undang negara ini digubal begitu rupa bahawa menyuruh kita sesama umat Islam menyalahi undang-undang yang saudara mengatakan saya berkempen secara rasis.. saya tanya dia tapi dia tak boleh jawab,” ujar beliau ketika berucap dalam ceramah perdana UMNO dan Pas di Taman Sri Putra di sini, Khamis malam.
Tambah Mohamad, perkara inilah yang merisaukan orang Melayu di era Malaysia baru ini.
“Kita seolah-olah sudah berdagang di tanah air sendiri. Apakah ini yang dikehendaki oleh orang Malaysia.. adakah ini Malaysia baru yang hendak kita buat..
“Jadi kita perlu sama-sama sedar. Mari kita berganding bahu, mari kita berpimpin tangan, mari kita bersillaturrahim. Mulai daripada sekarang orang Melayu dan Islam mesti bersatu padu dan pastikan kita dapat semula mentadbir negara kita.
“Saya bukan rasis, saya tidak pernah rasis, saya bercakap betapa bertuahnya kita orang Malaysia hidup dan lahir dalam negara yang aman damai ini, berbilang kaum, berbilang bahasa, berbilang budaya dan agama. Sudah lebih 60 tahun kita bina bersama negara ini tapi tidak pernah kita rasa tidak selesa seperti sekarang ini,” ujar beliau lagi.
Terang beliau, rasa tidak selamat itu bukan kerana Melayu sudah hilang kuasa, tetapi kerana perangai, kelakuan dan dasar yang diambil kerajaan sekarang ini memang tidak boleh menjamin masa depan orang Melayu dan orang Islam.
“Saya hairan… nak menyatu padukan orang Melayu Islam, kita ditekan begitu rupa. Kita dipanggil parti kafir dan bermacam lagi.
“Nabi kita di hina, inilah yang merunsingkan kita dalam negara ini. Ini yang perlu kita sedar dan perlu kita buka mata dan minda. Jika kita leka, masih lagi terlena dan dibuai mimpi janji indah, bermimpi dengan janji tidak tertunai, maka kita akan tertekan dan terus tertekan hingga orang yang sepatutnya duduk di rumah sendiri akan duduk di rumah kecil belakang rumah,” luah beliau.