Pergerakan Pemuda UMNO melihat Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2018 telah dijadikan forum perwakilan mendesak Kerajaan untuk memberi kontrak dan projek kepada Ketua-ketua Bahagian dan pimpinan mereka di semua peringkat.
Dalam hal ini, Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa sukur dan berkata sepatutnya orang UMNO berterima kasih kepada Bersatu kerana mereka membantu membersihkan UMNO dari daki yang mengotori perjuangannya.
Dalam persidangan Bersatu itu, terdapat gesaan perwakilan agar kerajaan memberikan jawatan dan kontrak agar parti itu dapat mengekalkan kuasa.
“Disokong pula Naib Presidennya Tan Sri Ab Rashid yang mengatakan bahawa Bersatu kena pastikan mereka kekalkan kuasa ‘by hook…or by crook’ (cara baik atau tak baik) termasuklah menyifatkan mereka yang tolak projek adalah bodoh.
“Nampaknya Bersatu telah mewarisi segala sifat buruk segelintir pemimpin UMNO sehingga UMNO dihukum pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Alhamdulillah orang UMNO patut berterima kasih kepada Bersatu kerana mereka kini sedang membersihkan UMNO daripada daki-daki yang mengotori perjuangan UMNO selama ini,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.