[Hina Raja Melayu] Cabaran Pemimpin PH agar TMJ masuk Politik itu BIADAP infomalay12.blogspot.com



Baru-baru ini Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mencabar Tunku Makhota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk turun dari singgahsana dan sertai politik sepenuhnya kerana tindakan baginda lantang menyuarakan suara hati rakyat dan menegur kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Cabaran tersebut adalah satu tindakan yang tak bertempat dan tidak munasabah kerana beliau yang berasal dari Pulau Pinang tentunya tidak memahami sejarah keluarga diraja Johor, peranan serta tanggungjawab institusi diraja di Johor.
Secara umumnya, bangsa Johor tidak mempunyai masalah, malah berbangga dengan adanya Undang-Undang Tubuh Negeri yang jelas menyatakan kewujudan dan peranan insitusi diraja Johor.
Bangsa Johor sentiasa menyambut baik pembabitan sultan atau TMJ dalam pentadbiran negeri, kehidupan atau suasana kemasyarakatan di Johor. Sebagai contoh, saranan TMJ untuk penambahan biasiswa pendidikan bagi mahasiswa Johor disambut baik oleh kerajaan negeri dan diambil kira dalam pembentangan bajet negeri.
Keluarga diraja tersebut turut memberi sumbangan biasiswa dan pinjaman kepada mahasiswa Johor melalui Yayasan Sultan Iskandar Johor bagi memastikan kepentingan masa depan anak-anak Johor terbela.
Keluarga diraja Johor amat prihatin akan isu keamanan dan keharmonian kaum. Perkara yang boleh mencacatkan keamanan masyarakat seperti dobi untuk orang Islam sahaja diarah untuk menjadi lebih terbuka.
Menurut kajian Institut ISEAS-Yusof Ishak pada 2017, 87% responden berpuas hati dengan prestasi keluarga diraja Johor dan 75% responden bersetuju jika Sultan Johor campur tangan dalam isu politik jika situasi memerlukan.
Tindakan Khairuddin yang mencabar TMJ untuk turun singgahsana ternyata satu tindakan yang tidak masuk akal kerana TMJ dan keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam menyelesaikan masalah rakyat seperti membina rumah mampu milik, memberikan biasiswa atau pun memastikan kualiti penjagaan kesihatan yang terbaik buat Johor.
Semua ini dilaksanakan bukan untuk keluarga diraja Johor berpolitik tetapi bagi memastikan nasib rakyat Johor terus terbela.
Khairuddin sebagai seorang pemimpin politik dan ahli jawatankuasa komunikasi dan mobiliti PH seharusnya meletakkan fokus beliau untuk selesaikan masalah rakyat, isu kebajikan masyarakat, kos sara hidup, kualiti pendidikan dan janji manifesto PH yang masih tidak dilaksanakan.
Kekhilafan beliau dalam mencabar TMJ untuk turun dari singgahsana dan sertai politik sepenuh masa hanya menunjukkan kecetekkan pengalaman beliau dalam hal ehwal pentadbiran Johor.
Ia turut mempersoalkan prinsip PH dalam mempertahankan institusi diraja dan pemerkasaan orang Melayu di era Malaysia Baru.
Pendapat beliau sebagai ahli jawatankuasa komunikasi dan mobiliti PH tentunya mendapat persetujuan secara langsung atau tidak langsung daripada kepimpinan tinggi PH. Perkara ini amat membimbangkan dan tidak boleh diambil ringan.
Hak orang Melayu hampir dicabar kerajaan PH melalui ratifikasi perjanjian Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan kini perkara sama mungkin akan berulang jika kita tidak mempertahankan institusi diraja.
Sesungguhnya, rakyat Johor sudah hilang sabar dengan kerenah pemimpin yang tidak berhenti berpolitik.
Rakyat tidak mahu lebih ramai ahli politik, tetapi perlukan pemimpin masyarakat yang ikhlas berjuang, menepati janji dan mengutamakan kebajikan rakyat, bukannya kepentingan politik masing-masing.
OLEH: Firdaus Muhammad
* Firdaus Muhammad ialah pembaca FMT.

TMJ tak sama dengan Ku Li, kata Aziz Bari


Abdul Aziz Bari berkata status Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak boleh disamakan dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dalam isu penglibatan kerabat diraja dalam politik.
Beliau mengulas cadangan bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan agar Tunku Ismail "turun singgahsana" dan menjadi ahli politik sepenuh masa - seperti yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar yang merupakan adik Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Abdul Aziz berkata perbandingan itu tidak tepat memandangkan Tengku Razaleigh dan Tengku Azlan hanya kerabat diraja dan bukan pewaris takhta seperti Tunku Ismail.
Baginya, pewaris takhta tidak sepatutnya menjadi ahli politik.
Walaupun Tunku Ismail belum menjadi raja, katanya, kedudukannya sebagai seorang yang bakal menaiki takhta menghalangnya daripada berbuat demikian.
"Tak boleh (jadi ahli politik). Kalau nak jadi ahli politik, tak boleh jadi raja. Sebab raja kebal manakala orang politik mana boleh ada imuniti," katanya kepada Malaysiakini.
Apabila ditanya sama ada ia termaktub dalam undang-undang, beliau berkata tiada peraturan khusus mengenai penglibatan raja mahupun pewaris takhta dalam politik.
Bagaimanapun beliau berkata secara etika mereka perlu berhati-hati dalam menyatakan pandangan.

Subscribe to receive free email updates: