Bila Allah berkehendak memuliakan seseorang, Allah akan mengujinya dengan pelbagai ujian.
Allah mengujimu berat sekali. Engkau terpaksa bertarung nyawa sehingga kami hampir-hampir berputus asa. Sedang engkau hadir ke sana dengan niat yang suci, tanpa pernah engkau fikir mereka siapa, apa agamanya bahkan warna kulitnya. Dalam hatimu, mereka mangsa dan aku Bomba.
Tapi jiwamu kuat untuk terus berjuang. Seluruh rakyat Malaysia mendoakanmu. Mengharap engkau sembuh kembali.
Kami tidak sanggup lagi kehilangan seorang lagi rakan kami, setelah hati kami telah remuk dengan kehilangan enam putra syurgawi.
Allah mengujimu lagi, bila fitnah liar cuba menutup kesalahan 'penjenayah-penjenayah' yang mencederakanmu. Mereka katakan, kecederaanmu adalah hasil kecuaian rakan-rakanmu sendiri.
Dalam keadaan engkau tidak mampu membela diri, rakan-rakanmu, pegawai tertinggimu, bahkan perdana menteri sendiri tetap tega membela mu.
Akhirnya, kata maaf telah terungkap, membersihkan namamu juga jabatan ini. Kebenaran kan terzahir jua. Menutup segala mulut yang celaka.
Engkau tidak keseorangan Adib! Bukan hanya kami rakan-rakanmu datang menziarahmu, bahkan bukan hanya pegawai kanan dan ketua pengarahmu malah Pemangku yang Dipertuan Agung turut mencemar duli menzahirkan duka melihat penderitaanmu.
Hari ini, aku bertambah cemburu, apabila Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, menziarahi dan mendoakanmu.
Kami bersyukur, keadaanmu beransur baik. Doa kami tidak putus buatmu. Kerana engkau simbol keberanian dan engkau wira kami, wira rakyat Malaysia.
Bangunlah Adib, kami sayang kamu!
Dipetik dari FB Zulkifli Che Noh
#prayforAdib