KUALA LUMPUR 3 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menawarkan diri sebagai calon untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti tahun ini.
Dalam satu kenyataan akhbar, Mahdzir berkata, pembaharuan dalam semangat, jati diri ahli serta pendekatan UMNO dalam menghadapi cabaran yang mendatang memerlukan perancangan, usaha yang bersifat inklusif dan holistik demi kelangsungan, kebangkitan dan pemerkasaan teras perjuangan UMNO.
Jelas beliau, amalan dan corak berpolitik, berorganisasi, bekerja, bermasyarakat yang sudah menjadi kebiasaan namun telah menjadi kurang relevan sewajarnya diperbaharui secara total bagi memacu teras utama agenda perjuangan UMNO demi agama, bangsa, rakyat dan negara.’’
“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab serta rendah diri ingin berkongsi semangat, idea dan tenaga bagi memastikan parti keramat kita iaitu UMNO terus diperkasakan dengan penuh kejujuran dan keinsafan untuk memperoleh kembali kepercayaan majoriti rakyat umum.
“Terjemahan sokongan saudara dan saudari perwakilan di semua peringkat kepimpinan UMNO untuk memberikan kepercayaan kepada saya amatlah dihargai. Ayuh kita bangkit bersama-sama memperbaharui agenda perjuangan UMNO,” kata Mahdzir.
Selain Mahzdir, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan jawatan parti itu.-UTUSAN ONLINE