SEPERTI yang pernah disebut sejak awal pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kerajaan baharu Malaysia ini banyak bergantung pada drama dan gimik populis.
Pendekatan pelik ini digunakan untuk menutup segala kesalahan, dengan memburukkan musuh politik, melindungi pemimpin dari kritikan dan sebagainya.
Perkembangan membimbangkan ini menandakan drama politik akan terus membelenggu politik negara, dan rakyat akan sentiasa dimanipulasi emosi mereka.
Apabila berlaku sesuatu yang memalukan kerajaan, seperti menteri mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Cina, satu isu gempar lain pula timbul.
Kita mungkin tidak tahu peristiwa yang timbul kemudian itu disengajakan atau tidak, tetapi setakat ini peristiwa yang menyusul berjaya menutup kejadian sebelumnya.
Kalau kita masih ingat, pada hari Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas, malam harinya berlaku serbuan di rumah kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengundang polemik apabila mengeluarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dalam bahasa Cina.
Tidak lama selepas itu, menyusul berita rampasan di kediaman yang ada kena-mengena dengan Najib.
Drama lebih menggemparkan dilakonkan selepas itu, dengan mengadakan sidang media menayangkan gambar-gambar barang rampasan dan memberitahu anggaran nilai rampasan, sebanyak RM1.1 bilion.
Kemudian tersebar satu detail yang “catchy” yakni salah satu jenama beg yang dirampas ialah Bijan.
Netizen pun beramai-ramai menjadikannya bahan lawak dan sindir, hingga tenggelam isu bahasa Melayu yang dipinggirkan dengan menggunakan alasan palsu.
Inilah yang sedang dan akan terus berlaku dalam politik negara kita, rakyat dengan mudah dialihkan perhatian mereka dengan drama, gimik dan cerita lucu serta gempar.
Pada masa orang ramai sibuk dengan cerita selipar Bata, berhenti berucap semasa azan, menteri pemilik 10 pegawai khas buat lawatan mengejut ke sekolah, DAP dan golongan sama kepentingan dengan mereka sudah meraih apa yang mereka sasarkan.
Daripada politik, kehakiman, bisnes dan instituti-institusi negara, mereka berjaya merombak dan bakal disusun mengikut kehendak mereka.
Soalnya sekarang, berapa lama lagi perkara ini akan berterusan dan sampai bilakah rakyat akan diperbodohkan secara beramai-ramai?