KON YEOW: Nilai yang dipotong itu akan disalur terus ke dalam Tabung Harapan Malaysia yang diperkenalkan di peringkat Kerajaan Pusat |
Perkara itu diumumkan Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow yang memaklumkan keputusan sebulat suara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco pada Rabu.
Menurut Kon Yeow, nilai yang dipotong itu akan disalur terus ke dalam Tabung Harapan Malaysia yang diperkenalkan di peringkat Kerajaan Pusat.
"Gaji pokok Ketua Menteri akan dipotong sebanyak RM1,417.51 sebulan manakala gaji 10 orang ahli Exco akan dipotong RM1,210.92 seorang. Ini menjadi jumlah sumbangan keseluruhan kepada Tabung Harapan Malaysia sebanyak RM13,526.80 sebulan.
"Keputusan sebulat suara ini adalah selari dengan ketetapan yang dibuat Kerajaan Persekutuan seperti yang diumum Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa gaji pokok jemaah menteri akan dipotong 10 peratus serta-merta," katanya dalam sidang media di Georgetown pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemotongan akan terus dilakukan sehingga pihaknya mendapat arahan baharu untuk menghentikannya.
Jelas beliau, pihaknya prihatin dengan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan hari ini dan ingin sama-sama membantu meringankan beban tersebut.
Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mengumumkan akan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima dana daripada rakyat yang ingin membantu kedudukan kewangan kerajaan.
BACA: 'Tabung Harapan Malaysia' untuk rakyat bantu pulih kewangan negara - PM
Menurut Dr Mahathir, inisiatif itu adalah susulan inisiatif patriotik rakyat yang ingin membantu menyelesaikan hutang negara. - Astro Awani