PROPAGANDA STATUS KEWANGAN NEGARA TENAT DIBUAT UNTUK SALAHKAN BN infomalay12.blogspot.com







Kuala Lumpur – Sejak seminggu kebelakangan ini, terlihat jelas bahawa taktik Pakatan Harapan (PH) adalah untuk menggambarkan ekonomi Malaysia amat lemah supaya apa sahaja yang berlaku sekarang dan selepas ini, kononnya bukan salah mereka, tetapi salah Barisan Nasional (BN), kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan

Katanya, penjawat awam dan pesara terpaksa menerima tempias propaganda status kewangan dan hutang negara RM1 trilion yang dikata tenat sehinggakan bonus hari raya lebih rendah daripada biasa (RM400 dan RM200 masing-masing) dan hanya diberi kepada mereka yang bergred 41 dan ke bawah.

“Rata-rata 48 peratus pengundi yang menyokong PH pun masih dalam perasaan ‘euphoria’ dengan Malaysia Baharu.

“Pun begitu, di sebalik mesej dan mainan sentimen kononnya ekonomi lemah sehingga sebuah tabung terpaksa dilancarkan untuk rakyat menyumbang membantu kerajaan mengurangkan hutang negara, jemaah menteri hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM40 juta untuk membeli hak penyiaran siaran langsung Piala Dunia untuk ditayangkan secara percuma di RTM.

“Agaknya dah boleh ubah nama tabung ke Tabung World Cup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, seandainya penjawat awam sendiri tidak bersuara tetapi orang BN sahaja yang mencanang, mungkin boleh dipertikaikan tetapi di media sosial pegawai kerajaanlah yang meluahkan perasaan kesal dengan tindakan kerajaan sekarang.

“Siap sedia kemungkinan juga kenaikan gaji tahunan ‘one-off’ yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini tidak akan dilaksanakan atas alasan yang sama, kononnya ekonomi negara berada dalam keadaan tidak baik. Salah siapa? Salah BN…

“Agaknya sekarang ini apabila pasaran saham Bursa Malaysia jatuh paling teruk semenjak krisis kewangan dunia 2008, pun salah BN juga.

“Lebih RM4 bilion modal asing keluar negara baru-baru ini pun, salah BN juga. Agaknya tiada kena mengena dengan dasar fiskal kerajaan baru yang mengembalikan cukai SST dengan kurang telus dan efisien di samping meningkatkan kebergantungan kita kepada hasil petroleum?”

Katanya terpulanglah kepada rakyat untuk menilai memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 baru saja berakhir sementara PRU ke-15 masih jauh lagi.

“Untuk bulan-bulan mendatang pihak kerajaan akan tetap memainkan isu kelemahan BN seolah-olah mereka masih pembangkang, tapi kalau inilah gaya ‘Harapan’, apabila BN bangkit semula dalam masa terdekat ini, insya-Allah kita akan ada bahan untuk jadi pembangkang berkualiti.”

Beliau percaya bahawa dari satu sudut, UMNO dan BN perlu selesaikan pembaharuan dalaman dan menggariskan strateginya sebelum terlalu ghairah mengkritik atau menyerang kerajaan.

“Biar kita membangkang dari suatu asas yang kukuh. Kalah sekali bukan bermaksud kalah selamanya.”


Subscribe to receive free email updates: