'Warga tempatan sendiri gadai negara’ infomalay12.blogspot.com

'Warga tempatan sendiri gadai negara’
(Ubah saiz teks)
LAMBAKAN warga asing di seluruh negara pastinya mencetuskan satu polemik yang tidak menyenangkan serta membuatkan mata yang melihat menjadi sakit.
Namun, percaya atau tidak jika difikir secara logik dan secara faktanya, ia berpunca daripada rakyat tempatan sendiri.

Mana tidaknya, pastinya wang ringgit menjadi habuan. Katanya boleh hidup mewah dengan keselesaan yang berlipat ganda, mampu memiliki kereta mewah dan pelbagai lagi. Namun, sedar atau tidak, ia menjerumuskan negara ke satu tahap gadaian yang merumitkan suatu hari nanti.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tidak dinafikan warga tempatan menjadi watak utama dalam kemasukan warga asing.
Menurutnya, sekiranya tiada dalang yang terdiri dari warga tempatan ini, jumlah kemasukan secara tidak sah akan jauh berkurangan.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada dalang ini menerima bayaran sekitar RM3,000 sehingga RM5,000 untuk satu kepala (individu). Malah, ada dalang ini menyeludup masuk warga asing tidak kira melalui jalan laut, udara atau darat dengan menjanjikan pekerjaan, namun selepas warga asing tiba, perkara sebaliknya berlaku. Dalang ini hanya mahukan wang semata-mata.

“Akibatnya, warga asing ini terbiar dan tidak terurus. Ini antara faktor menyebabkan lambakan pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya kepada Sinar Siasat.

Ketika mengulas lanjut tentang dalang isu ini, Mustafar berkata, ia boleh terdiri daripada kalangan orang awam atau pun individu tertentu.
Katanya, apa yang perlu dititikberatkan adalah kemasukan mana-mana warga asing ini harus diurus dengan terancang.

“Sekiranya masuk sebagai pelajar, pastikan dia benar-benar adalah pelajar, bukan bekerja. Jika bekerja, pastikan mengikut permit kerja yang ditetapkan, bukannya sesuka hati bekerja dengan majikan lain atau sebagainya, malah kalau melancong usah pula langgar peraturan, ini tidak, sampai ada yang tinggal lebih masa,” katanya.

Tambah Mustafar, pihaknya juga mengesan terdapat juga pihak yang mahu mengaut untung membawa masuk warga asing, tetapi menggunakan nama orang politik atau individu berpengaruh untuk memudahkan urusan tersebut.
Sementara itu, Mustafar juga tidak menolak wujudnya dalang yang terdiri daripada warga asing itu sendiri.

“Ada warga asing yang berada di dalam negara membekalkan pasport atau permit palsu kepada Pati dengan bayaran tertentu. Ini terbukti dengan pelbagai rampasan serta tangkapan yang kita buat sebelum ini,” katanya.

Justeru, tiga strategi diterapkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan dalam usaha membanteras lambakan Pati bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.
Sinar Harian

Subscribe to receive free email updates: