(Ubah saiz teks)
PUTRAJAYA - Kerajaan Selangor hari ini, gagal dalam rayuan semakan kehakiman yang mencabar syor persempadanan semula Dun dan Parlimen di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmadi Asnawi, yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan kerajaan negeri itu selepas mendapati permohonan berkenaan tidak bermerit.
Melalui penghakiman dibacakan oleh Vernon, korum itu bersetuju dengan hujahan Kerajaan Selangor bahawa mereka mempunyai locus standi (hak yang sah di sisi undang-undang) untuk mencabar cadangan persempadanan itu, kerana ia adalah salah satu entiti dinyatakan di bawah Seksyen 5 Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun korum itu bersetuju dengan hujahan oleh Peguam Kanan Persekutuan bahawa notis
dan cadangan persempadanan itu tidak sepatutnya dikaji semula kerana ia tidak termasuk dalam Peraturan 53 Kaedah 2 (4) Kaedah Mahkamah 2012.
“Kami bersetuju dengan hujahan responden bahawa forum yang sesuai untuk membantah cadangan persempadanan adalah melalui sesi inkuiri tempatan, berdasarkan Seksyen 5 Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Vernon berkata, walaupun dakwaan berhubung salah pembahagian kawasan dan manipulasi pilihan raya (gerrymander) tidak dipertikaikan, Daftar Pemilih prinsipal adalah muktamad dan mengikat serta tidak boleh dicabar di mahkamah mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.
“Kami bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berdasarkan Seksyen 9A Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958 berkaitan ketepatan daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah walaupun daftar pemilih itu tidak merekodkan alamat lengkap semua dalam cadangan persempadanan semula,” katanya.
Mereka juga bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa maklumat disediakan oleh SPR melalui cadangan persempadanan di bawah notis Seksyen 4 tidak memerlukan campur tangan mahkamah lebih tinggi.
Korum itu bagaimanapun tidak menyentuh hujahan dikemukakan responden, sama ada kes itu kini telah bersifat akademik susulan cadangan persempadanan semula Dun dan Parlimen di negeri itu telah diluluskan, semalam.
Pada 7 Disember 2017, Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Selangor, bagi mencabar proses cadangan persempadanan semula di kawasan Parlimen dan Dun negeri terbabit.
Dalam semakan kehakiman itu, Kerajaan Selangor yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan oleh SPR pada 2016, tidak mematuhi Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, sehubungan itu ia tidak sah dan terbatal. Sinar Harian