
Stop, thief! Malaysia’s PM is about to steal election
Ini saya terjemahkan dari tajuk tulisan lidah pengarang majalah The Economist keluaran 10 Mac 2018 yang lalu. Saya ulangi lagi, ini tajuk tulisan lidah pengarang. Untuk para wartawan, untuk pemerhati politik dan untuk yang sedar, lidah pengarang membawa makna yang dalam.
Kalau tulisan lidah pengarang Utusan Melayu maknanya ini dasar dan pandangan Utusan. Ini juga selari dengan dasar dan pandangan parti United Malays National Organisation yang menjadi kerajaan. Ini kerana akhbar Utusan adalah milik United Malays National Organisation. Maknanya tulisan itu juga adalah dasar kerajaan.

Justeru The Economist ini suara siapa? Kenapa bunyi lidah pengarangnya amat kasar terhadap Najib? Terlalu kasar terhadap seorang pemimpin Melayu Islam yang warak. Kasar terhadap pemimpin Melayu Islam yang jujur berhemah dan yang tak pernah tinggal sembahyang.
Malah si Najib ini terbukti warak. Si Najib ini baru sahaja membawa kaum keluarga berumrah ke Makkah. Menaiki kapal terbang kerajaan. Tidak ramai anak yang warak lagi salih seperti Najib yang ada keupayaan dan kemampuan berumrah membawa sanak saudara yang ramai. Ini kehebatan Najib. Amin.
Malah Najib yang warak lagi suci ini sempat masuk melawat makam Nabi Muhammad. Ada gambar terpampang sebagai bahan bukti kesucian Najib. Tetapi saya juga terbaca ada suara sumbang yang mempertikaikan apakah ini betul makam Nabi Muhamad? Ini kerana mengikut pandangan yang alim lagi berilmu makam Nabi telah lama ditutup.
Walau apa pun, untuk saya, sama ada Najib pergi umrah dengan kaum keluarga dengan menggunakan duit kerajaan atau tidak bukan satu isu penting. Sama ada Najib melawat makam nabi atau tidak juga tidak penting.
Apa yang amat amat penting ialah kenapa majalah The Economist ini begitu kasar terhadap seorang pemimpin Melayu Islam yang warak, syumul, jujur dan berhemah?
Ini persoalan hakiki dari mata hati 30 juta anak semua bangsa - bangsa semua agama - warga Malaysia. Ini tidak termasuk tujuh juta pekerja asing dan pendatang haram yang juga pasti tertanya-tanya kenapa Najib dituduh oleh majalah The Economist sebagai pencuri.
Sebelum saya memanjangkan labun biar saya terangkan makna to steal election. Dalam bahasa Inggeris to steal election bukan mencuri pilihan raya. To steal election bermakna akan menipu pilihan raya untuk menang.
Pada pandangan The Economist Najib akan menipu dalam PRU14 ini untuk menang. Pandangan The Economist ini kelihatan selari dengan pandangan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dari Pakatan Harapan. Malah ahli-ahli Pakatan Harapan dan penyokong Pakatan Harapan juga percaya adanya rancangan jahat.
Lalu saya kembali bertanya, kenapa The Economist ini menuduh Najib ini pencuri dan penipu? Suara siapa di belakang lidah pengarang The Economist? Apakah majalah yang berpusat di kota London ini bersekongkol dengan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah. Apakah ini agenda Cina Lim Kit Siang dari Democratic Action Party? Atau ini kumpulan lama Anwar Ibrahim bergetah kembali?
900 Fatimah Ismail
Kenapa pandangan The Economist ini selari dengan pandangan Pakatan Harapan. Ini membuatkan saya tertanya-tanya. Kenapa?
Dalam ceramah Mahathir di Bachok Kelantan, di Kamunting Perak dan yang yang paling akhir pada Ahad 18 Mac lalu di Seremban, Dr Mahathir terus menuduh Najib ini pencuri dan penipu. Mengikut Mahathir, Najib akan menang PRU14 hanya dengan jalan tipu.
Mahathir mengulangi dakwaan 900 perempuan bernama Fatimah Ismail yang bakal jadi pengundi hantu. Mahathir mengulangi dakwaan 70 orang Melayu, India dan China yang duduk di satu rumah d ialamat yang sama. Mahathir menerangkan 400,000 undi awal dan hampir 1 juta undi pos. Semua ini didakwa penipuan.Tapi mengikut Mahathir, penipuan paling afdal lagi cun ialah persempadan semula. Maaf, Mahathir tidak menggunakan perkataan cun. Perkataan cun ini dari saya Hishamuddin Rais.
Mahathir kata Najib pencuri. The Economist kata Najib pencuri. Mahathir kata Najib akan menipu PRU14. The Economist juga berkata Najib akan menipu untuk menang PRU14.
Hairan bin pelik bagaimana ini terjadi. Agenda siapa ini? Apakah Mahathir telah mengupah The Economist untuk menperlekeh Najib?
Jika kita tanya Lebai Google maka kita akan diberitahu bahawa majalah ini adalah milik syarikat Economist Group (bawah). Syarikat ini dimiliki oleh keluarga Cadbury, Rothschild, Shroder, Agnelli, Lyton dan beberapa keluarga yang lain. Majalah ini telah muncul semenjak tahun 1843. Maknanya sudah lebih dari 100 tahun.
Read More / Baca Lagi >>