KUALA TERENGGANU – Parti politik yang ingin mengadakan perhimpunan atau ceramah sempena PRU14 perlu mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh 10 hari lebih awal dari tarikh program.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Idris Abdullah berkata, permohonan awal penting bagi membolehkan ia dinilai meliputi pelbagai aspek sebelum diluluskan.
“Sebelum ini ada beberapa pihak memberikan notis dalam masa singkat, ada yang nak adakah perhimpunan tetapi dua hari sebelum tarikh program baru nak mohon permit. Keadaan itu akan menyukarkan semakan dilakukan oleh balai polis daerah.

Mengulas lanjut, Idris berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, pihak terlibat boleh di dakwa di bawah seksyen 24b (3) Akta Kesalahan Pilihan raya 1954.
“Dalam hal ini, kita minta kerjasama pihak yang ingin mengadakan ceramah atau perhimpunan dengan memastikan mereka melalui proses yang ditetapkan ini termasuk memohon permit 10 hari lebih awal.
“Langkah ini bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku seterusnya melancarkan tugas polis dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan semua,” katanya.
Pada majlis itu, seramai lebih 30 pegawai, anggota dan kakitangan awam dianugerahkan sijil penghargaan polis meliputi pelbagai kategori.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, setiap parti politik harus menitik beratkan faktor keselamatan ketika memasang bendera parti masing-masing menjelang PRU14.
“Bendera yang dipasang perlu dipastikan tidak mengganggu penglihatan pengguna jalan raya kerana dikhuatiri akan menyebabkan kemalangan.
"Selain itu, kita minta ia tidak dipasang di tiang-tiang elektrik kerana boleh mengancam keselamatan individu yang memasang bendera itu,” katanya.