Kanak-kanak tiga tahun di Perancis wajib bersekolah infomalay12.blogspot.com

Kanak-kanak tiga tahun wajib bersekolah di Perancis
Bermula sesi persekolahan 2019, semua kanak-kanak berusia tiga tahun di Perancis wajib bersekolah.
PARIS - PERANCIS.  Presiden Emmanuel Macron, hari ini mengumumkan semua budak berusia tiga tahun wajib bersekolah, berbanding enam tahun sebelum ini, sebagai sebahagian rancangannya mengubah sistem pendidikan.

Langkah itu cuma memberi kesan kepada minoriti keluarga, dengan 97.6 peratus kanak-kanak Perancis sudah pun memasuki sekolah pada usia tiga tahun, menurut data Kementerian Pendidikan.

Namun Macron menegaskan perubahan itu bertujuan memerangi ketidaksamaan di wilayah luar dan kawasan paling miskin di tanah besar Perancis terutamanya, yang menyaksikan semakin ramai ibu bapa memilih tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

“Saya harap dengan kewajipan ini, bermula awal persekolahan 2019, kita boleh membetulkan perbezaan yang tidak boleh diterima ini,” katanya kepada sidang yang dianjurkan untuk membincangkan pendidikan prasekolah.
Beliau berjanji prasekolah menjadi semakin baik pada masa depan dalam sistem pendidikan Perancis.

Macron, yang menamakan pendidikan sebagai antara keutamaannya, melantik pakar psikiatri saraf, Boris Cyrulnik, untuk membantu membentuk perubahan kepada kurikulum prasekolah dengan kerjasama Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer. - AFP

Subscribe to receive free email updates: