
"Ini penting bagi kes ini, kenapa tidak ada sesiapa dapat melihat ini dan ia (isu atau tuduhan) tidak dijawab?
"Kenapa bukti ini tidak dapat dikemukakan dan dijawab," katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak cubaannya untuk mengketepikan sabitan dan hukumannya.
Menjawab soalan seorang wartawan kemudiannya, bekas pemimpin pembangkang yang dipenjarakan itu berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan mahkamah hari ini tetapi berasa kecewa.
"Saya masih berharap ada jalan di mana ada seorang hakim yang berani dan penuh keyakinan. Jika tidak, kita tunggu PRU14," katanya.
Walaupun keputusan hari ini adalah berhubung permohonannya yang mendakwa berlaku penipuan berkaitan bukti dalam sabitan kes liwat II , Anwar juga memfailkan permohonan untuk mengketepikan hukuman dan sabitannya berdasarkan tuduhan bayaran RM9.5 juta itu.
Sarawak Report sebelum ini mendakwa Shafee telah menerima bayaran dalam dua transaksi iaitu pada 11 Sept 2013 dan 17 Februari 2014 daripada akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Putrajaya pada tahun 2013 melantik Shafee sebagai pendakwa dalam kes Liwat II membabitkan Anwar apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar, dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara.
Mahkamah Persekutuan pula pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan bersalah terhadap Anwar yang didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Shafee telah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak masuk akal.