
Penduduk menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini mengambil alih semula pengurusan rumah persinggahan (rest house) bandar ini yang terbiar dan jarang disinggahi pengunjung.
Tinjauan bersama pekerja rumah berkenaan mendapati purata cuma 10 pengunjung yang menginap di situ dalam seminggu.
Hal yang sama juga berlaku apabila premis bersejarah itu tidak lagi mendapat perhatian dalam kalangan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak beberapa tahun lalu.
Senario itu menyebabkan rumah persinggahan bandar ini yang dibina sejak zaman kolonial British yang menjadi transit pemilik lombong emas, pegawai British dan pembesar Melayu terus sepi.
Rumah persinggahan yang mempunyai 20 bilik itu juga rosak dengan susun atur katil, cadar dan selimut sudah lusuh
Pengunjung dari Klang, Robert Liew, 75, berkata, dia terkejut apabila singgah di situ kerana mendapati tidak ada petugas di kaunter.
“Hal ini berbeza 40 tahun sebelum ini, ketika saya bertugas di sini keadaan rest house ini terurus dengan baik dan cukup ceria sehingga bilik sentiasa penuh disinggahi pengunjung manakala pada malamnya kita boleh menyedut udara segar dari puncak bukit ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Penduduk Raub, Munawar Ghazali Munir, 30, berkata, pihak PBT sewajarnya cakna dengan pengurusan rumah persinggahan itu kerana satu-satunya premis bersejarah yang mampu merancakkan sektor pelancongan daerah ini.
Tambahnya, kelemahan dan kekurangan kemudahan di situ antara punca pengunjung enggan transit di rumah persinggahan itu sebaliknya terus memilih hotel lain di bandar ini yang lebih selesa untuk bermalam.