[LIPIS] PESAKIT KENCING MANIS KRONIK ENGGAN POTONG KAKI infomalay12.blogspot.com


Pesakit kencing manis kronik enggan potong kaki


"Doktor kata kaki pakcik kena potong sampai paras paha tapi pakcik taknak. Biarlah pakcik guna perubatan alternatif lain dan sanggup tanggung sakit asalkan kaki pakcik ada.

Demikian kata penghidap kencing manis kronik di Kampung Sungai Temau di sini, Abdul Hamid Imam Kadir, 68, yang menderita penyakit berkenaan sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lipis pada Disember lepas setelah kaki kanannya mula berkudis dan berlubang hingga menyebabkannya sukar untuk berjalan.

"Lepas semalaman kat hospital, doktor datang dan bagitahu kaki pakcik kena potong tiga tapi pakcik taknak. Doktor kata pakcik kena potong juga, sudahnya pakcik panggil anak-anak dan minta mereka bawa balik ke rumah.

"Sejak itulah pakcik terlantar atas tilam sampai hari ni. Nak berjalan tak boleh jadi memang harapkan isteri, anak dan menantu untuk tolong bersihkan luka dan mandi,"katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Hidap kencing manis lima tahun lalu

Anak ketiga Abdul Hamid, Hasliza, 41, berkata, bapanya mula menghidap kencing manis sejak lebih lima tahun lalu namun menjadi semakin kronik sekitar dua bulan ini.

Tambahnya, dahulu kaki kiri bapanya berkudis serta mengeluarkan nanah tetapi sudah bertambah baik dan kini keadaan berubah apabila kuman telah menyerang sebelah kanan pula hingga menyebabkan kaki dan peha berlubang selain mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

"Kat hospital doktor kata nak potong kaki abah tapi kami sepakat adik beradik nak bawa balik rumah dan cuba rawatan lain termasuk homeopati dan ubat-ubatan dari hospital.

"Sekarang ni pun abah kena tidur dalam kelambu sebab lalat selalu hinggap kat luka yang bernanah dan menampakkan isi," katanya.

Menantu Abdul Hamid, Nurul Afiza Nawawi, 30, berkata, dia sering berulang alik dari rumah sewa yang terletak berhampiran kediaman mentuanya untuk membantu membersihkan luka pada kaki bapa mentua.

Jelasnya, bapa mentuanya itu sudah tiada kudrat untuk bergerak dan perlu dipakaikan lampin pakai buang selain hanya dibawa mandi ke bilik air seminggu sekali sahaja.

"Luka abah tak boleh kena air sangat sebab nanti berair lagi lambat nak kering, jadi kami hanya lap-lapkan saja badan abah dengan kain basah.

"Bila datang rasa denyut kat tempat luka, masing-masing akan cuba tenangkan abah,kami nak picit beria pun tak boleh sebab sakit," katanya.

Hanya makan lempeng, minum barli

Sementara itu, isteri Abdul Hamid, Rosmah Bedu Amat, 69, berkata, suaminya kini hanya bergantung sepenuhnya pada minuman barli dan lempeng untuk memperoleh sedikit tenaga selain mengelak dari bacaan kencing manis menjadi tinggi.





"Kadang-kadang tu pakcik bising juga nak makan nasi tapi makcik minta dia bersabar dan berpantang sementara waktu hingga luka di kaki betul-betul sembuh.

"Sekarang bila pakcik kata lapar terus makcik bancuh air barli dan buat lempeng kosong, kadang sekali, kadang tiga kali sehari, tengok pada selera," katanya.

Rayu bantuan kewangan

Rosmah berkata, dia perlu mengeluarkan perbelanjaan hampir RM2,000 sebulan untuk kos rawatan perubatan serta membeli lampin pakai buang untuk suaminya.

Menurutnya, dengan hanya bergantung pada wang sara hidup tanam semula getah sebanyak RM700 tidak cukup menampung perbelanjaan perubatan serta membeli barangan keperluan harian.

"Sekarang ni bila ada jiran atau saudara mara datang ada la juga mereka bagi sikit sedekah dan dengan wang itulah kami gunakan untuk rawatan perubatan pakcik.

"Makcik harap ada pihak yang sudi tampil meringankan beban makcik sekeluarga terutama dari segi kos perubatan," katanya.

Zahirkan rasa simpati

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Temau, Baharuddin Mat Sidik berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa Abdul Hamid selain mendoakan agar warga emas itu kembali sihat.

Menurutnya, wakil rakyat dan agensi berkaitan juga telah tampil menghulurkan sedikit bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga malang itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan kepada Abdul Hamid Imam Kadir melalui akaun Agro Bank, 2006111000035362 atau berhubung di talian 01112909634.


Subscribe to receive free email updates: