[KUANTAN] PERLU PERLUASKAN JUALAN SENTUHAN RAKYAT infomalay12.blogspot.com


Perlu perluaskan Jualan Sentuhan Rakyat



Program Jualan Sentuhan Rakyat perlu diperluaskan dan dibesarkan lagi agar tidak terhad pada sehari penganjuran saja sebaliknya dijalankan dua atau tiga kali sebulan.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Pahang (Pasfa) Dato' Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama peniaga serta pemilik pasar raya untuk sehari setiap sebulan akan membabitkan kerjasama agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) selain Pasfa.

“Saya kalau boleh harap program seperti ini dapat libatkan Fama, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pasfa sendiri untuk mempelbagaikan produk jualan.

“Jualan murah setiap bulan ini perlu sebagai satu subsidi kepada rakyat untuk membeli barangan dengan harga berpatutan pada setiap bulan,” katanya kepada media selepas merasmikan program itu bagi peringkat Umno Bahagian Indera Mahkota, semalam.

Mustaffar Kamal berkata, buat masa ini program berkenaan masih belum diketahui masyarakat secara meluas dan ia perlu dihebahkan bagi menarik kehadiran lebih ramai rakyat golongan berpendapatan rendah ke program itu.

Katanya, program yang dianjurkan itu bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat selain mendorong peniaga untuk turut menurunkan harga barangan keperluan pada masa depan akan diadakan dengan beberapa agensi pada masa depan.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota berkata, cadangan penganjuran Program Jualan Sentuhan Rakyat itu membuktikan kerajaan komited membantu rakyat selain mendengar keluhan dan rintihan masyarakat mengenai kos sara hidup yang kian meningkat.

“Program ini memberi inisiatif kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan harian yang lebih murah pada hari penganjuran jualan itu.

“Malah saya lihat ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat yang berkunjung ke pasar raya untuk membeli barang keperluan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan program yang dianjurkan itu bermotifkan politik bagi menarik sokongan rakyat untuk mengundi kerajaan BN pada PRU14 sebaliknya ia memang program yang sudah lama dirancang kerajaan.


Subscribe to receive free email updates: