Apa lagi nak selamatkan BN
Bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata proses persempadanan semula kawasan pilihan raya juga tidak akan dapat 'menyelamatkan' BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Kata Muhyiddin yang kini menjadi presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tahap penolakan rakyat kepada BN begitu tinggi dan tidak dapat ditahan lagi.
Jika telahan Muhyiddin itu benar, BN mungkin akan hilang Putrajaya pada PRU14 dan digantikan dengan Pakatan Harapan yang sedang mencongak untuk melantik siapa perdana menteri yang baru.
Tetapi, BN juga memiliki beberapa kelebihan lain untuk mendepani PRU14 antaranya kerjasama 'politik matang' bersama PAS yang kononnya mempunyai pengaruh di kalangan pengundi Melayu yang besar.
Pertandingan 3 penjuru
Percaturan itu sangat mudah iaitu PAS akan menjadi spoiler atau pengacau untuk memecahbelahkan undi pembangkang dan sekali gus memenangkan Umno dan BN.
Jika percaturan ini menjadi, mungkin BN akan menang di beberapa kerusi yang membabitkan tiga penjuru antara BN, PAS dan HARAPAN.
Namun, mereka yang masih terpengaruh untuk mengundi PAS itu hanyalah ahli-ahli parti Islam itu sahaja dan dengar-dengar kata, tak ramai ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi.
Seperkara lagi, mampukah pengaruh PAS ini mengatasi gerombolan pengundi tanpa parti yang akan turut menyertai PRU14 untuk menyuara serta menzahirkan kebimbangan mereka mengenai apa masa depan Malaysia?
Selain itu, BN juga mungkin menyandarkan harapan pada strategi kitar semula dengan memomokkan DAP sebagai parti anti-Melayu, anti-Islam demi menjauhkan pengundi untuk mengundi HARAPAN.
Dr M persetankan DAP
Namun, setelah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui beliau sebenarnya orangnya yang mempersetankan DAP dan lebih ramai Melayu kini menyertai DAP, momokan seperti itu kian hilang pengaruhnya.
Lebih ramai mulai sedar sebenarnya, sejak PAS bekerjasama dengan DAP pada PRU13, bahawa DAP tidaklah seburuk yang disangka dan rekod pemerintahan DAP di Pulau Pinang menidakkan segala tohmahan mengenai parti itu.
Mungkin juga, BN terutamanya Umno bersandarkan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk meraih undi terutama daripada masyarakat luar bandar.
Namun, strategi BR1M mungkin memberi kesan minimum sahaja kerana perbelanjaan harian kian meningkat dengan bantuan tersebut lenyap dalam masa hanya beberapa ketika.
Realitinya, bagaimana pulangan GST yang hanya sekitar 14 peratus dapat membantu golongan berpendapatan rendah sedangkan 'tangan kanan' kerajaan mengambil puluhan bilion ringgit tetapi 'tangan kiri' pulangkan beberapa juta sahaja.
Isu Felda, MARA
Pada masa yang sama, denyut nadi rakyat yang kian terhimpit dengan lonjakan kos sara hidup makin membara apabila terdengar isu-isu rasuah dan penyelewengan membabitkan pemimpin Umno.
Terbaru, kisah yang didedahkan oleh pemimpin Umno sendiri mengenai 'kehilangan' tanah milik Felda bernilai ratusan juta ringgit yang mungkin mengaitkan seorang lagi pemimpin Umno yang pernah dipertanggungjawabkan menjaga agensi terbabit.
Itu belum termasuk skandal-skandal lain yang lebih dekat di hati Melayu seperti Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), urus niaga hartanah milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan isu-isu membabitkan Tabung Haji (TH).
Justeru, mungkin benar apa yang dikatakan oleh Muhyiddin beberapa hari lalu bahawa Umno kini tidak dapat diselamatkan lagi kerana penolakan oleh seluruh rakyat Malaysia yang kian dihimpit dengan kenaikan harga barang yang melampau.
Orang muda pula terpaksa bekerja di siang hari dan di malam hari memandu Uber atau Grab bagi menambah pendapatan manakala mereka yang berusia terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan rawatan hospital apabila katil tak ditambah, ubat pula dikurangkan.
Gandingan Mahathir, DAP
Dengan Mahathir bergandingan bersama DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan parti yang dipimpin bekas seterunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat kini semakin cenderung untuk memilih alternatif kepada BN.
Mungkin ada baiknya jika BN merasai bagaimana rasanya menjadi pembangkang seperti mana Mahathir merasai bagaimana berceramah di atas lori atau kenderaan pacuan empat roda (4WD) setelah menyertai HARAPAN.
Mungkin ada manfaatnya jika rakyat negara ini memberi peluang kepada pembangkang untuk hapuskan GST, bebaskan banyak perkara dari cengkaman politik dan mencipta gelombang sistem dua parti dalam erti kata sebenar.
AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
malaysiakini.