Kejadian tersebut difahamkan telah berlaku di sebuah pusat membeli belah di Melaka dan sejurus sahaja ianya menjadi viral, wanita tersebut tampil membuat pengakuan.
Berikut merupakan penjelasan wanita terbabit yang identitinya tidak didedahkan kepada umum.
"Saya tampar dia sebab saya susah senang dengan dia selama tujuh tahun. Dari dia jalan kaki sampai sekarang, saya tampar dia untuk kepercayaan saya yang hilang.”
"Saya tampar dia sebab dia tinggalkan anak saya dua jam lebih tanpa penjaga di playground itu. Saya tampar dia untuk masa tenaga saya yang sia-sia tolong dia mencari rezeki.”
"Dan saya tampar dia sebab dia pilih bercerita dengan bini orang tentang masalah kami. Padahal sebelum itu saya dah minta dia balik berbincang di rumah.”
"Lima kali kantoi, saya diam. Ini kali keenam dengan isteri orang dan saya hilang sabar," jelasnya.
Setelah video tersebut menjadi viral, ada dalam kalangan netizen yang membuat andaian dan turut menyalahkan wanita terbabit kerana tindakan tersebut dianggap sebagai mengaibkan dan juga berdosa.
Namun wanita tersebut mendakwa bahawa tindakan yang diambilnya itu betul dan turut menyoal jika perkara seperti ini berlaku sudah pasti tindakan yang sama juga akan diambil.
"Pandai cakap, cubalah rasa. Orang yang kau susah senang sama-sama, dari jalan kaki sampai sekarang, orang yang kau bagi seluruh hidup kau, orang yang kau percaya jaga kau sampai akhir hayat, orang yang bagi kepercayaan sepenuhnya tiba-tiba berubah.”
"Saya hilang tempat bergantung, hilang rasa hormat, hancur terus rasa nak percaya.”
"Diberi peluang untuk selesaikan masalah berdua, tetapi dia memilih untuk berkongsi masalah dengan perempuan lain, dengan isteri orang!”
"Masih aku juga yang salah, masih aku juga yang jahat," katanya.
Semasa pergaduhan terbabit berlaku, wanita tersebut telah memberikan dua pilihan buat suaminya itu sama ada untuk melepaskan atau untuk berubah demi keluarga kecilnya.
"Kalau memang tak nak lagi, lepaskan secara elok. Kalau masih sayangkan keluarga kecil ini, tolonglah berubah. Sama-sama betulkan. Sejujurnya saya masih berharap, masih sayang dan masih memerlukan," katanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila satu video telah dimuat naik di mana menunjukkan seorang wanita sedang memarahi seorang lelaki dan kekasihnya yang dikatakan telah curang di sebuah pusat membeli-belah.
Dalam pada masa yang sama, wanita itu juga turut menampar lelaki terbabit dan bertindak menengking wanita yang bersama lelaki itu kerana sudah hilang tahap kesabaran. Sumber: The Reporter, Editor: Amira