Ekoran masalah pam air yang rosak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek, di sini, ia sekali gus memberi kesan kepada bekalan air dari tangki utama ke bangunan sekolah, asrama dan kuarters guru.
Difahamkan, kerosakan itu telah berlaku kira-kira setahun lalu dan menjadi semakin kritikal pada Oktober sehingga berlarutan sepanjang musim tengkujuh yang melanda pulau peranginan itu, baru-baru ini.
Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Khairur Rizal Ramli berkata, masalah itu telah dibangkitkan pihak sekolah ketika lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersama Adun Tioman, Dato' Sri Mohd Johari Hussain ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di sekolah itu.
Menurutnya, ia menyukarkan mangsa-mangsa banjir yang berpindah selain turut menjejaskan persekolahan murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.
Katanya, bagi mengenalpasti punca masalah, TDA dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tioman mengambil langkah proaktif pada 15 Januari lalu ke lokasi untuk menyiasat dan mengenalpasti punca.
"Siasatan itu mendapati ia berpunca daripada kerosakan komponen yang mengalirkan arus elektrik untuk menghidupkan pam air berkenaan secara manual atau automatik.
"Tindakan jangka pendek bagi mengatasi masalah ini adalah dengan menggantikan komponen yang rosak dan pihak TDA berbesar hati untuk menyumbangkannya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dalam pada itu, bagi penyelesaian jangka panjang, beliau turut menyarankan pihak sekolah agar membuat pemeriksaan ke atas alat kawalan pam yang dibekalkan oleh pembekal bertauliah (vendor).
Khairur Rizal berkata, ia disebabkan alat kawalan berkenaan hanya boleh ditetapkan (setting) menggunakan perisian khas yang dibekalkan vendor.
"Sementara dalam tempoh percubaan sepanjang minggu ini, sekiranya ada perkembangan terbaru ke atas pam dan bekalan air berkenaan, pihak sekolah diminta menghubungi pihak TNB Tioman untuk tindakan lanjut atas kerjasama serta bantuan yang boleh diusahakan secara bersama dengan pihak TDA," katanya.