Sikap Pas terus burukkan kerjasama pembangkang kurang bijak, kata bekas Adun infomalay12.blogspot.com

Sikap pimpinan Pas yang terus menyerang kerjasama pembangkang selepas persetujuan menetapkan calon Perdana Menteri dan pembahagian kerusi dilihat satu langkah kurang bijak.
“Ini perkembangan baik yang belum pernah berlaku dalam sejarah kerjasama pembangkang di Malaysia,” kata bekas Adun Cherang Ruku,  Othman Wahab.
Sepatutnya, kata beliau Pas mengkaji semula pendiriannya untuk berada di luar Pakatan Harapan (PH) dengan perkembangan ini.
“Kita tahu semua parti pembangkang di Malaysia tidak mampu menjadi parti alternatif secara bersendirian.
“Sebab itu sepanjang sejarah Pas, parti itu sentiasa mencari peluang untuk mengadakan kerjasama bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
“Walaupun Pas kuat tahun 1990 di Kelantan, semua orang tahu kemenangan hanya dicapai melalui kerjasama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sehinggalah boleh jadi kerajaan sampai sekarang,” katanya ketika di temui di majlis Dialog Kedai Kopi di hadapan Pasaraya Aeon semalam.
Tindakan Pas menurut beliau akan ditanggapi sebagai cuba memberi perlindungan kepada Umno dan BN yang kini semakin terdesak.
“Menamakan Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai PM dan TPM akan mewujudkan kestabilan dalam gerakan pembangkang dan akan mengkucar kacirkan pendirian penyokong kerajaan.
“Kini dua kumpulan besar rakyat Malaysia yang berpihak kepada Mahathir dan Anwar kini bersatu.
“Impaknya tentulah besar dan tidak lagi jadi gurauan untuk katakan pasukan ini adalah kerajaan menanti,” katanya.
Baginya jika Pas tidak memikirkan semula pendiriannya dan terus menerus dilihat anti Pakatan Harapan dan pro kerajaan Najib parti itu sedang menempah bahaya.
“Rakyat yang sedang tertekan dengan himpitan ekonomi dan kerajaan semakin dilihat begitu hodoh, mereka mahukan sebuah kerajaan baru.
“Dengan (Tun) Mahathir sendiri memimpin pasukan saya yakin rakyat tidak ragu untuk meletakkan kepercayaan.
“Di sini Pas akan tersepit di mana semakin kuat kempen kebencian mereka kepada PH semakin benci rakyat terhadap gelagat mereka yang dilihat bekerja untuk selamatkan Najib,” katanya.
Pada majlis DKK itu penyelaras AMANAH Dun Bunut Payong, Jasman Jaafar menyerahkan papan Karom untuk kegunaan belia di kampong Sireh dan Pasir Kota.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :