
Sama ada berdasarkan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah atau Rafidah Aziz atau sesiapa yang lain yang tidak setuju dengan tindakan itu, itulah sebenarnya suara majoriti rakyat Malaysia.
Ia bukan saja kerana perhimpunan yang disertai oleh Tun Siti Hasmah itu sudah berlalu empat bulan lamanya, tetapi sebagaimana semua maklum Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik itu adalah anjuran Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan salah seorang ahli G25, Noor Farida Ariffin.
Sudahkah penganjurnya disiasat dan tidak cukupkah dengan menyiasat penganjur saja dan kenapa baru sekarang Tun Siti Hasmah pula hendak disiasat?
Atas apa sebab sekali pun, tiada keperluan untuk menyiasat Tun Siti Hasmah yang hanya berucap dan mengajak orangramai agar mengamalkan politik bersih dan sihat sepanjang masa dalam ucapannya di himpunan tersebut.
Lagi pula, beliau bukannya berucap mengajak orangramai memberontak atau melakukan kerosakan kepada negara.
Sebagaimana yang dimaklumi juga, Tun Siti Hasmah tidak pernah sama sekali terkait dengan apa-apa skandal atau diketahui ada bermewah dengan barangan kemas ratusan juta ringgit di tubuh badannya, melainkan hanya suaminya, Tun Mahathir Mohamad adalah musuh nombor satu kepada Najib Razak.
Jadi, untuk apa beliau disiasat atau ini merupakan tindakan terdesak kerajaan yang mesejnya hendak disampaikan kepada Tun Mahathir dan Pakatan Harapan?
Kenapa tidak siasat dan tangkap saja Tun Mahathir yang lebih banyak hadir dan berucap dalam pelbagai perhimpunan aman yang lain?
Kenapa juga mereka yang terkait dengan skandal dan isunya lebih diperkatakan di seluruh dunia tidak pernah disiasat?
Oleh kerana Tun Siti Hasmah tidak terlibat dalam politik, melainkan sebagai pendamping setia kepada Tun Mahathir semata-mata, siasatan ke atasnya pasti sukar diterima dan secara langsung atau tidak langsung akan mencalarkan wibawa pimpinan kerajaan sedia ada di mata rakyat.

Siapakah yang mengarahkan siasatan terhadap Tun Siti Hasmah itu - Najib Razak sebagai Perdana Menteri atau Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri?
Bolehkah Najib atau Zahid Hamidi tampil segera memberikan penjelasan?