Gua kurang faham kenapa si Zizek ini terganggu? Kenapa ahli falsafah tersohor ini merasa gusar dan risau? Apa yang merisaukan? Kenapa susah hati apabila ada orang bodoh gumbira.
Tidak bersetuju. Amat jelas – gua, Hishamuddin Rais tidak bersetuju dengan pandangan ahli falsafah ini. Gua seratus peratus menolak pandangan Zizek. Gua adalah orang pertama dalam dunia ini yang mengalu-alukan sosok bodoh. Gua mahu merayakan Mat Bodoh dan Minah Bebal.
Gua akan mendakwah. Gua akan menulis. Gua akan berhujah. Gua akan menghasut sesiapa sahaja – agar orang ramai – menyambut saranan gua untuk merayakan Mat Bodoh dan Minah Bebal.
Lagi bangang Mat Bodoh dan Minah Bebal ini,lagi wajib kita rayakan mereka.
Pada tahun 1884 – 170 tahun dahulu – Karl Marx dan Friedrich Engles dalam Manifesto Komunis telah mengeluarkan slogan berbunyi: Kaum Buruh Sedunia Bersatulah, Kamu Tidak Hilang Apa-apa Kecuali Tali Penindasan.
Pada tahun 2018 ini, Hishamuddin Rais mengeluarkan slogan: Sang Bangang Sedunia Bersatulah – Tidak Akan Hilang Kebodohan Kamu. Slogan inilah yang akan gua arak ke hulu ke hilir untuk untuk merayakan Mat Bodoh dan Minah Bebal.
Tidak adalah kegumbiraan yang menggumbirakan melainkan melihat Mat Bodoh dan Minah Bebal dalam keadaan yang amat bodoh. Justeru, Profesor Zizek yang tersohor itu tidak seharusnya bersusah hati. Bodoh akan membawa gumbira.
Mungkin pada hemat sesetengah orang, bangang dan bodoh ini bertahap-tahap. Ada bodoh yang lebih bangang. Dan ada bodoh yang lebih bodoh dari bangang. Ada bebal yang bangang. Ada bangang yang lebih bebal.
Apakah benar bodoh dan bangang ini bertahap-tahap, bertingkat-tingkat? Ada yang lebih bodoh dan ada yang lebih bangang. Apakah ada bodoh yang lebih bangang dari bebal? Apakah ada bangang yang lebih baghal dari bodoh? Perkara ini gua tak berapa jelas.
Untuk menghalusi pengkajian mari kita bersama selidiki perkataan bodoh ini. B-O-D-O-H adalah konsep. Pada masa yang sama, bodoh juga ialah kata sifat. Ini menjadikan perkataan dan konsep bodoh ini cukup menarik. Justeru berkemungkinan, perkataan bodoh ini jika diatur dengan baik boleh dibaca ‘cool’.
Hakikatnya dalam konsep/kata sifat ini ada perkataan bodoh, bangang, bebal, baghal, bahlol dan ngok. Semua membawa makna bodoh. Semuanya menunjukkan konsep dan perangai dan sifat seseorang.
Gua tak mahu menggunakan perkataan ‘kurang cerdik’ untuk memahami apa itu bodoh. Pada hemat gua jika kurang cerdik digunakan ini satu kesalahan yang amat besar. Jangan sesekali dihubungkan perkataan bodoh dengan cerdik. Jangan.
Jika kita melihat Mat Bebal itu bangang maka kita katakan Mat Bebal ini bangang. Kita wajib berkata benar, jujur, tepat dan ikhlas.
Kadang kala kita terdengar juga perkataan baghal. Ini maknanya bodoh. Baghal ini ialah sejenis binatang kacukan kaldai dengan kuda. Sosok baghal ini tidak wujud di Gugusan Kepulauan Melayu. Baghal adalah warga asli dari negara padang pasir.
Justeru gua rasa konsep bodoh baghal ini hanya menjelma dalam budaya Melayu setelah Bani Melayu berjumpa dengan warga Saudi. Bila Melayu bertemu Saudi maka baghal mula muncul. Kebaghalan Bani Melayu ini muncul bila bertemu dengan warga Saudi.
Ngok juga bermakna bodoh. Gua rasa ini perkataan baru. Ketika gua membesar dahulu gua tak bertemu atau tidak pernah terdengar perkataan ngok ini. Mungkin dulu ngok belum diolah lagi.
Ngok mungkin perkataan baru saperti kantoi, cun, pot dan gian. Mungkin ngok ini lahir dari budaya anak muda yang mahu menerangkan makna bodoh di kalangan anak-anak muda yang sedang bodoh. Atau ngok ini singkatan dari perkataan bongok yang juga membawa makna bangang.
Read More / Baca Lagi >>