Sinar, 25 Januari 2018
KENT - UNITED KINGDOM. Gara-gara berang putus cinta, seorang pelajar jurusan sukan maut ditikam bekas kekasih.
Memetik laporan portal antarabangsa, mangsa ditikam beberapa kali di tekak dan kepalanya.
Suspek, Stimpson telah membunuh Molly McLaren, 23, dua minggu selepas McLaren memutuskan hubungan mereka.
Kecewa dengan tindakan itu, Stimson dilaporkan mula 'memerhatikan' mangsa di media sosial bertujuan menjejak lokasinya dan mengekorinya.
Stimpson akhirnya berjaya menjejaki McLaren di Dockside dekat kampung di Chatnam, Kent.
Suspek dilaporkan membuka dan menarik pintu kereta sebelum menyerang mangsa.
Menurut saksi, Benjamin Morton, dia cuba untuk menyelamatkan mangsa dengan menarik Stimpson namun suspek berjaya masuk ke dalam kereta dan meneruskan serangan.
“Dia seperti sudah gila dan terus melakukan serangan lagi dan lagi," katanya.
Sebelum kejadian tersebut, McLaren yang juga bekerja sebagai pelayan bar dikatakan baru pulang daripada bersenam.
CCTV berjaya merakamkan Stimpson menemui mangsa di ruangan penyambut tetamu gim.
Mangsa dilaporkan sempat menghantar pesanan mesej kepada kawan-kawan dan ibunya sebelum ditemui mati lapan minit kemudian.
Stimpson telah ditangkap di tempat pembunuhan dengan tangan yang berlumuran darah namun tidak membantah dan menyerah diri kepada pihak polis.
Suspek mengaku bersalah atas pembunuhan itu namun memberi alasan perbuatan itu dilakukan kerana terdapat gangguan pada mentalnya.
Pakar psikiatri akan dipanggil untuk mengesahkan sama ada tertuduh benar-benar berada dalam keadaan yang dimaksudkan ketika insiden itu berlaku.
McLaren dilaporkan berkenalan dengan Stimpson, 26, menerusi sebuah laman web temu janji iaitu Thinder sebelum berpisah empat bulan kemudian.