Mohd Khairil Anuar Wafa SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan bakal bertanding di 28 kerusi Dun dan tiga kerusi Parlimen menjelang PRU14 ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Khairil Anuar Wafa berkata, pada awalnya mereka menjangka akan bertanding di 12 kerusi Dun, namun di saat akhir pihaknya membuat keputusan untuk menambah bilangan kerusi berkenaan.
Katanya, mana-mana kerusi Dun yang sebelum ini diwakili oleh Pas akan diteruskan, termasuklah di Labu dan Paroi.
“Pertandingan tiga penjuru sudah tidak dapat dielakkan lagi apabila Parti Amanah Nasional (Amanah) berminat untuk bertanding di kerusi Pas, dan dalam masa yang sama kita (Pas) juga akan terus kekal bertanding di kerusi itu.
“Pada PRU13 lalu kita hanya bertanding di 12 Dun tetapi pada kali ini kita tambah lagi 16 kerusi yang mana kita rasakan ada potensi untuk menang.
“Pas tidak terikat dengan mana-mana pakatan dan kita bebas untuk bertanding di semua tempat yang dirasakan perlu serta ada sokongan rakyat,”katanya kepada sinar Harian.
Dalam pada itu, Mohd Khairil memberitahu, sebanyak 40 peratus daripada calon Pas adalah terdiri daripada pemuda, dan 50 peratus daripada kesemua calon adalah muka baru.
Katanya, Pas akan terus memberi saingan kepada semua calon parti, bagi memastikan mendapat tempat pada PRU14 ini.
“Pas menawarkan cara pemerintahan mengikut model Islam, dan mana-mana rakyat yang mahukan perubahan mereka boleh memilih Pas pada PRU14 nanti, bagi memberi peluang kepada Pas mentadbir negeri, mahupun membentuk kerajaan kelak,” katanya.
Untuk rekod, pada PRU13, Pas bertanding di 12 daripada 36 kerusi Dun dan tiga daripada lapan kerusi Parlimen.
Bagaimanapun Pas tewas di semua kerusi yang ditandingi mereka.