PAS Kelantan akui cabaran HARAPAN infomalay12.blogspot.com

PAS Kelantan diingatkan supaya berwaspada dengan gerak kerja dilakukan musuh politik mereka dan tidak memandang mudah cabaran berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.
Perkara itu ditegaskan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga timbalan menteri besar Kelantan.
Menurut beliau, walaupun menyedari parti lawan khususnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berada dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak kuat, namun PAS tidak boleh berasa selesa.
"Walaupun kita tahu pengaruh parti AMANAH dan BERSATU ini tidak kuat, tetapi dalam kaedah kita berlawan kita tidak boleh pandang mudah dengan musuh.
"Kita kena sentiasa berasa bimbang dan bersiap-sedia menghadapi musuh walaupun musuh itu kecil," katanya ketika berucap di majlis Perasmian Bilik Operasi PAS Cawangan Panchor, di Kota Bharu, malam tadi.
Iktibar kisah arnab dan kura-kura
Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, musuh PAS itu pada zahirnya lemah, tetapi jika mereka kerana ralit mungkin akan melakukan perhitungan yang silap berisiko untuk tewas.
Jelas beliau, pengajaran dalam cerita warisan dalam kisah perlumbaan arnab dan kura-kura perlu dijadikan iktibar.
"Arnab berlumba dengan kura-kura, dari segi hukum akal kura-kura takkan menang. Sebab dia berjalan lambat, tetapi dalam cerita itu kura-kura boleh menang, menang bukan kerana laju tetapi kerana dia berjalan tak berhenti.
"Arnab pula kalah bukan sebab ia perlahan tapi dia tak fikir kura-kura boleh pintas. Maka dia sambil lewa, makan roti canai dulu, hisap rokok dan akhirnya tertidur.
"Cerita ini tak tahu betul atau tidak, tapi ada pengajaran besar supaya kita tak memandang rendah pada lawan," ujarnya.
Mohd Amar pada PRU lepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Panchor dengan majoriti 5,036 undi menewaskan calon BN Che Rosli Hassan.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: