Najib rayu batal saman penyelesaian 1MDB-IPIC infomalay12.blogspot.com

PERDANA Menteri Najib Razak sudah memfailkan rayuan setelah permohonannya untuk membatalkan saman difailkan Pemuda Pakatan Harapan berkaitan bayaran dibuat 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) ditolak.
“Semalam kami juga telah failkan rayuan mengenai penolakan pemfailan pembelaan yang masih dalam rayuan,” kata peguam Najib Mohd Hararizam Harun.
“Kami menunggu tarikh pendengaran awal dari Mahkamah Rayuan untuk permohonan S44 Akta Kehakiman Mahkamah (1964).
“Walau apapun, kami ada sehingga 9 Febuari untuk memfailkan pembelaan,” kata Harafizam.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaan melakukan pembelaan berkaitan saman itu.
Hakim Hue Siew Kheng juga menolak permohonan bertulis oleh tiga pihak berkenaan untuk menangguhkan pembelaan mereka.
Pemuda PH menerusi kumpulan Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) memfailkan saman itu Julai tahun lepas.
Saman itu berkaitan dengan pinjaman AS$1.2 bilion dan wang tunai pendahuluan sebanyak AS$3.54 bilion didakwa 1MDB dibayar kepada IPIC bagi memenuhi sebahagian daripada perjanjian pinjaman dibuat pada Mei 2012.
IPIC mendakwa tidak pernah menerima sebarang bayaran daripada 1MDB, seterusnya menyebabkan pertikaian perundangan berlaku di mahkamah London. Bagaimanapun, satu penyelesaian berjaya dicapai beberapa hari sebelum pendengaran kes itu bermula Mei lepas.
GANT1 mahu tiga pihak terbabit mendedahkan akaun terperinci mengenai wang yang dibayar kepada IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investment PJS.
GANT1 juga mahu arahan dikeluarkan supaya tiga pihak bertanggungjawab itu memulangkan kembali apa sahaja bayaran yang dibuat secara salah kepada IPIC atau Aabar, dan/atau syarikat Aabar Investment PJS Ltd (Aabar BVI) yang berdaftar di Kepulauan British Virgin kepada 1MDB.
Ia juga mahu mahkamah mengisytiharkan mengenai penyelesaian antara IPIC dan IMDB di Mahkamah Timbang Tara London pada 11 Mei lalu tidak sah.
Pada 9 Januari, Hue menolak permohonan defendan untuk membuang saman itu kerana dakwa mereka GANT1 tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyaman berkaitan urusan antara 1MDB dan IPIC di London.

Subscribe to receive free email updates: