Malam Tahun Baru 2018:Rolls Royce milik Aliff Syukri antara disita JPJ infomalay12.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik pengasas D'Herbs, Datuk Aliff Syukri antara kenderaan yang disita dalam Ops Patuh oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, di sini tadi.
Kereta terbabit yang dipandu seorang warga Australia disita selepas pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai lesen memandu sah di negara ini.
Selain itu, dia dan seorang lagi rakan senegaranya yang turut berada dalam kenderaan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kenderaan itu menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan Sarawak sedangkan kenderaan terbabit digunakan di Semenanjung.
Difahamkan, kereta mewah dianggarkan berharga lebih RM1 juta itu disewa oleh dua warga asing terbabit dari sebuah agensi kereta sewa mewah milik Aliff.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata kesalahan ini dikategorikan sebagai penipuan lokasi pengisytiharan penggunaan LKM.
"Jika di Semenanjung, LKM kenderaan itu jumlah cukainya lebih RM20,000, namun cukai LKM untuk kenderaan terbabit di Sarawak hanya RM5,873.
"Kita terpaksa sita kenderaan ini sehingga pemiliknya membayar jumlah baki harga cukai LKM yang sepatutnya," katanya kepada pemberita di sini, tadi bersama Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Ismail Mohd Zawawi.
Sementara itu, katanya setakat jam 11.30 malam tadi, sebanyak 428 saman dikeluarkan kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Ops Patuh di Jalan Bangsar dan Jalan Genting Klang, di sini.
"Setakat jam 11.30 malam ini, sebanyak 2,080 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 297 kenderaan dikenakan saman dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 428 saman dikeluarkan.
"Sebanyak 148 saman dikeluarkan atas kesalahan LKM tamat tempoh, manakala 181 saman kerana tiada lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh.
"Kesalahan lain adalah cermin gelap (46 saman), nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (15 saman), kesalahan tiada cermin sisi (tiga saman) dan kesalahan teknikal (sembilan saman) serta lain-lain kesalahan sebanyak 15 saman, selain 20 kenderaan disita," katanya.
Wan Ahmad Uzir berkata, kebanyakan kereta atau motosikal yang disita pada operasi ini digunakan oleh warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah.
Menurutnya, Ops Patuh yang dijalankan sejak awal tahun ini turut diadakan di seluruh negara malam ini sempena sambutan ambang tahun baru 2018.
"Setakat semalam, sebanyak 42,478 kenderaan diperiksa dengan 14,844 dikenakan tindakan dan sejumlah 21,613 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Kita turut mengeluarkan 28,097 notis kepada pemilik kenderaan untuk mereka menghantar kenderaan menjalani pemeriksaan sebagai contoh untuk pemeriksaan cermin gelap, manakala 72 buah kenderaan disita," jelas beliau.
Operasi bermula jam 8.30 malam dengan 170 kekuatan anggota diadakan secara bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Seramai 65 warga asing ditahan pihak imigresen atas pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah serta dokumen tamat tempoh.

Subscribe to receive free email updates: