JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang berusia 26 tahun dipercayai telah ditangkap dan bakal berdepan hukuman gantung selepas pihak polis menemui pelbagai jenis dadah dan pil khayal bernilai hampir RM200,000, selepas ditahan di hadapan sebuah pasaraya, di Skudai, semalam.
Menurut Ketua Polis Johor, dalam kejadian pada jam 9.35 malam semalam itu, lelaki berkenaan telah ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, lbu Pejabat Polis Kontinjen Johor selepas mendapat laporan daripada orang ramai.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk 200 pil Erimin 5,62.34 gram syabu, selain 9.80 gram ketamin dan 39 pil ecstasy.
Pihak polis kemudiannya turut menjalankan pemeriksaan di sebuah pangsapuri yang menjadi tempat kediaman suspek di Taman Sutera Utama, dan turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk 10,100 pil Erimin 5, 77.58 gram ketamin dan 11 pil ecstasy.
Hasil daripada jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 10,300 pil Erimin 5, 62.34 gram syabu, selain 87.38 gram ketamin dan 50 pil ecstasy yang dianggarkan bernilai hampir RM162,233.85.
Tambahnya lagi, suspek juga telah ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Polis Johor juga turut memberi amaran keras supaya tiada sesiapa pun terbabit dalam penggunaan atau pengedaran dadah, selain menghargai pihak yang membantu dalam usaha membanteras jenayah dadah. Sumber: Berita Harian, Editor: Amira