“Ramai yang tak tahu loghat Lipis jadi timbul idea untuk buat video dan muat naik dalam Facebook, tak sangka pula ramai yang suka."
Demikian kata wanita berasal dari Kampung Penjom di sini, Siti Safinah Kamaluddin, yang telah mendapat perhatian netizen setelah dia memuat naik sebuah video dan bercakap dalam loghat daerah Lipis.
Video berdurasi 20 saat yang tular di laman Facebook telah dirakam Siti Safinah di dalam kereta ketika pulang dari tempat kerja di Kolej Komuniti Raub (KKR) pada 10 Januari lalu.
Sehingga kini video tersebut telah menerima 64,000 tontonan, 1,300 Like, 1,100 komen dan dikongsi oleh 736 penonton.
Siti Safinah yang bertugas sebagai pensyarah di KKR sejak setahun lalu berkata, tujuan beliau membuat video tersebut adalah untuk memperkenalkan loghat dan slanga dari daerah Lipis kepada masyarakat luar.
“Bila balik kampung saya suka dengar makcik-makcik bercakap dalam loghat Lipis dan saya akan mengajuk semula gaya bahasa mereka.
“Jadi bila saya bercakap dalam loghat Lipis terutama dengan kawan-kawan, ramai yang cakap bahasa tu pelik dan minta saya terjemah semula maksudnya.
“Ada juga yang cakap bunyi dialek tu macam orang Kedah. Malah kawan-kawan dari Kuantan pun tak tahu sesetengah perkataan dalam loghat Lipis dan ingin mengetahui maknanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Siti Safinah berkata, sewajarnya golongan muda terutama dari daerah Lipis memperkasakan loghat berkenaan agar dapat diperkenalkan kepada masyarakat luar khususnya dari negeri lain.
Graduan Diploma Rekaan Fesyen dari Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor itu berkata, dia turut merancang untuk merakam lebih banyak video dalam loghat Lipis selain turut meminta bantuan saudara-mara untuk memeriahkan lagi rakaman berkenaan.
“Walaupun ada yang komen kurang enak, saya tak terasa hati. Malah saya tahu dengan cara itu dapat tarik perhatian netizen untuk tahu bagaimana sebutan loghat Lipis.
“Kalau orang Kedah loghat Kedah, orang Terengganu loghat Terengganu. Jadi kita ni orang Pahang, orang Lipis patut bangga dengan loghat kita, jangan malu atau segan,” katanya.