Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura bakal menghubungkan Malaysia dan Singapura dari Stesen Bukit Chagar, Johor Bharu ke Woodlands North, Singapura. Projek yang dijangka beroperasi pada akhir 2024 ini akan mengurangkan masa perjalanan kepada 30 minit berbanding lebih sejam sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata projek itu yang dijadualkan memulakan pembinaan pada 2019, akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sehingga 15 peratus sebaik sahaja ia mula beroperasi pada akhir tahun 2024.
Laluan RTS berkapasiti untuk membawa sehingga 10,000 penumpang sejam setiap arah atau 72,000 penumpang setiap hari, yang diterjemahkan kepada kapasiti tambahan sebanyak 60,000 pengguna yang melintasi tambak pada waktu puncak berbanding dengan purata 300 penumpang pada masa ini. Ia juga memudahkan aliran penumpang kerana mempunyai kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar dan Woodlands North.
Mohd Azharuddin berkata, penumpang yang memulakan perjalanan di kedua-dua hala akan menjalani pemeriksaan kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Singapura pada waktu berlepas, dan tidak perlu melalui pelepasan imigrasi lagi pada saat ketibaan.
Ini bermakna sebelum berlepas, pengguna dari Malaysia ke Singapura perlu menjalani pemeriksaan kastam dan imigresen untuk kedua-dua negara di stesen Bukit Chagar sahaja, dan juga untuk perjalanan pulang, pemeriksaan akan hanya dibuat di stesen Woodlands North.