Buat perubahan pada 2018 infomalay12.blogspot.com

Kedatangan tahun baru lazimnya disambut dengan penuh kemeriahan kerana ianya hadir bersama peluang untuk melakukan perubahan. Di dalam kerangka politik negara pula, kedatangan 2018 amat dinanti-nantikan. Ini kerana pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan berlaku pada tahun 2018 ini.
Masih segar di dalam ingatan, di dalam perjalanan menuju PRU-13, betapa segala kritikan, peringatan dan amaran daripada pihak pembangkang dimomokkan sebagai ‘tohmahan’ dan ‘fitnah’.
Namun, selepas PRU-13 satu persatu kepincangan dan kebobrokan pemerintah terdedah. Kepincangan dan kebobrokan pemerintah ini lantas menjadi bebanan teramat berat yang dipikul kita semua.
Tahun 2017 memperlihatkan segala kepincangan dan kebobrokan pemerintah memuncak.
Kepincangan dan kebobrokan pemerintah baik dari sudut urus tadbir, ekonomi, perundangan mahupun demokrasi berparlimen.
Kini 2018 hadir memberikan peluang kepada kita semua untuk membuat perubahan. Peluang untuk kita memulihkan dan mengembalikan negara ini di landasan yang betul.
Peluang untuk melihat Malaysia menjadi negara yang lebih baik, lebih adil dan lebih saksama untuk semua rakyatnya.
Peluang yang diberikan kepada kita pada tahun 2018 tidak harus disia-siakan. Ayuh berusaha dengan gigih memastikan perubahan berlaku pada 2018. Kuasa melakukan perubahan berada di tangan kita semua.
Saya mewakili keluarga besar KEADILAN dan Pakatan Harapan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2018 kepada semua warga Malaysia. Semoga pada tahun 2018 ini segala harapan kita menjadi kenyataan.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden Pakatan Harapan
Presiden KEADILAN

Subscribe to receive free email updates: