[BENTONG] TERHALANG CARI REZEKI infomalay12.blogspot.com


Terhalang cari rezeki



Seorang bekas pemandu jentera berat dari Felda Sungai Kemahal di sini hilang sumber pendapatan selepas tidak mampu untuk bekerja apabila kaki kanannya terpaksa dipotong dua tahun lalu.

Keadaan diri Norhadisam Mohamed Isa, 41 akibat kencing manis itu semakin buruk berikutan penyakit kulit misteri dihidapi tahun lalu.

Rakannya, Mohamed Shaipudin Baba, 50, berkata, Norhadisam masih mampu bekerja sebagai pemandu jentera berat meskipun disahkan mengidap kencing manis kira-kira 10 tahun lalu.

“Sejak setahun lepas dia mula dijangkiti penyakit kulit dan tak lagi boleh keluar bekerja. Saya bawa dia ke hospital untuk dapatkan rawatan tapi penyakit yang dihidapi tak dapat dikenal pasti.

“Sekarang dia hanya bergantung kepada ubat tahan sakit dan doktor nasihatkan supaya berehat di rumah saja. Ada yang kata dia terkena buatan orang tapi saya tak kisah dengan semua itu, paling penting penyakitnya sembuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Shaipudin berkata, Norhadisam kini tinggal bersama ibunya dan hanya bergantung hidup hasil jualan kelapa sawit daripada ladang ibunya.

“Selain sumbangan orang ramai, setakat ini dia hanya terima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakannya untuk belanja makan dan minum.

“Sumbangan itu tak cukup walaupun ada hasil sawit sebab kadang-kadang sawit langsung tak keluarkan hasil menyebabkan dia berasa kesempitan duit untuk sara diri dan ibunya,” katanya.

Sementara itu, Norhadisam sentiasa berharap supaya penyakitnya segera sembuh supaya dapat mencari pendapatan untuk menyara diri dan ibunya.

“Makan minum memang tidak menentu. Saya hanya mampu bersabar. Kalau boleh saya nak bekerja dan saya pernah bekerja tapi sakit. Apa lagi yang boleh saya buat untuk ibu saya.

“Saya berharap ada pihak yang sudi bantu biayai perubatan saya dan mencari orang yang boleh mengubat penyakit supaya saya boleh pulih sepenuhnya untuk bekerja semula cari rezeki untuk sara ibu,” katanya.

Bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Norhadisam Mohamed Isa, 156244033532


Subscribe to receive free email updates: