Benarkah HARAPAN undang campur tangan asing infomalay12.blogspot.com

Baru-baru ini Pakatan Harapan (HARAPAN) menerima undangan untuk bertemu dengan wakil-wakil daripada Kesatuan Eropah atau European Union (EU).
Umno BN seperti yang yang dijangka terus melenting. Mereka menuduh Pakatan Harapan mengamalkan politik terdesak apabila mengundang campur tangan asing. Kalau pembangkang, disebut campur tangan asing.
Kalau parti pemerintah, disebut hubungan kerjasama antarabangsa. Satu dikotomi yang hebat!
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya pada 28 Januari lalu, berkata pertemuan itu menjejaskan usaha-usaha kerajaan dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara termasuk dalam mempertahankan industri kelapa sawit negara yang boleh memberikan kesan langsung terhadap ratusan ribu pekebun kecil yang bergantung kepada industri ini untuk kehidupan harian mereka.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim menjelaskan bahawa agenda perjumpaan HARAPAN bersama duta EU ternyata sengaja menimbulkan spekulasi sekali gus mahu menjatuhkan presiden Umno.
Meskipun saya kurang berminat untuk menjawab tuduhan Umno BN, namun kerana diputarbelitkan oleh mereka dan media perdana serta dikaitkan pula dengan kesan kepada rakyat, maka saya fikir ada baiknya diberikan penjelasan.
Pertama, pihak EU telah menjemput HARAPAN bukan HARAPAN yang mengundang mereka. Kumpulan diplomat EU seramai 14 orang duta dan tiga Charge de Affairs negara-negara EU telah mengadakan pertemuan dengan delegasi pemimpin HARAPAN yang diketuai oleh pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad di kediaman duta EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernández pada 25 Januari lalu.
“Dia (wakil EU) kata mereka tak pernah jumpa barisan pembangkang yang bekerjasama yang erat yang kerjanya semakin hari semakin tersusun,” kata Ketua Setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah.
Antara perkara yang dilapor dibincangkan termasuklah pemerhatian pilihan raya umum (PRU) akan datang oleh EU (atas jemputan kerajaan Malaysia) dan perkembangan tindakan negara-negara EU tertentu bersabit skandal 1MDB.
Kedua, sebagai negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk bertemu dan berbincang dua hala terutama dalam ruang lingkup undang-undang. Apabila dijemput dan ada ruang bertukar pandangan maka tidak bijak jika ditolak begitu sahaja.
Pada masa yang sama, menjadi lumrah untuk diplomat negara luar mendapatkan perkembangan terkini yang berlaku di negara mereka ditempatkan.
Ini lazimnya berlaku melalui pertemuan dengan pelbagai pihak, termasuk pemimpin kerajaan, pemimpin pembangkang mahupun pemimpin masyarakat madani. Ini selari dengan norma-norma dan nilai-nilai yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 yang dipetik sendiri oleh menteri luar Nngeri.
Ketiga, soal pemerhatian PRU oleh pemerhati antarabangsa bukan suatu perkara yang baru atau aneh.
Ia pernah dilakukan oleh negara-negara lain. Malah negara kita melalui wakil-wakil dari Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, parti politik atau badan-badan pemantau pilihan raya Malaysia seperti MAFREL pernah melaksanakan pemerhatian pilihan raya ke negara Taiwan, Sri Lanka, Filipina, Bangladesh, Indonesia dan lain-lain.
Ia tidak menjejaskan kewibawaan dan ketelusan proses pilihan raya bahkan ia menambah keyakinan rakyat terhadap proses pelaksanaan PRU.
Justeru dalam konteks ini, sebenarnya persoalan yang lebih wajar ditanya ialah mengapa Menteri Luar Negeri dan parti pemerintah terpaksa bersikap defensif atau mempertahankan diri seolah-olah amat bimbang dengan pertemuan buat pertama kali antara EU dan Pakatan Harapan?
Kenapa perlu melenting sehingga mengaitkan kedaulatan dan strategi serta dasar untuk membela rakyat termasuk mempertahankan industri kelapa sawit negara?
Apakah dengan pertemuan kali pertama tersebut boleh menunggang-langgangkan hubungan antarabangsa, politik dan ekonomi negara? Apakah pertemuan sekali itu telah menggagalkan strategi kerajaan dan menjadikan semua yang terlibat sebagai tidak patriotik.
Jika benar, maka malangnya ia menandakan betapa rapuh kedudukan dan kepimpinan negara sekarang di bawah Datuk Seri Najib Razak. Ia menandakan seolah-olah parti pemerintah tidak yakin dengan kekuatan dan strategi sendiri.
Ia juga barangkali menandakan ketidakyakinan duta-duta EU terhadap cara negara menangani pelbagai isu, khususnya berkaitan 1MDB.
HARAPAN bukannya tidak sedar tentang kempen anti-minyak sawit di Eropah di mana EU telah mengesahkan rancangannya mengharamkan bahan bakar biosawit bermula tahun 2021.
HARAPAN bukannya tidak peka terhadap minyak sawit sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi dan rakyat Malaysia kerana ia melibatkan lebih 650,000 pekebun kecil.
HARAPAN juga sedar usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh Felda dan agensi yang menyokong usaha pekebun kecil seperti petisyen dan kempen “Faces of Palm Oil”. Usaha oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) juga diperakui dan wajar diteruskan.
Namun itu semua tidak seharusnya menutup ruang perbincangan dua hala dalam isu-isu lain. Malah saya percaya bila HARAPAN mengambil alih Putrajaya, isu pembelaan ekonomi dan rakyat Malaysia menjadi keutamaan dan dizahirkan melalui tindakan lebih berkesan.
Oleh kerana cintakan negara dan pembelaan rakyatlah maka segala ikhtiar perlu dilakukan untuk membawa negara kepada landasan yang betul.
Hakikatnya, maruah dan imej negara sudah terjejas teruk akibat skandal 1MDB sejak beberapa tahun lepas. Skandal 1MDB telah dianggap media antarabangsa sebagai skandal rompakan terdahsyat kurun ini kerana ia melibatkan puluhan ribu juta ringgit dana rakyat Malaysia.
Seperti yang diketahui, laporan skandal 1MDB telah dibuat di beberapa buah negara seperti Singapura, Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Luxembourg.
Malah mahkamah di Singapura dan Switzerland telah menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang terlibat dalam pergerakan wang yang dikatakan daripada 1MDB. Oleh kerana ada negara-negara EU yang terpalit dengan skandal 1MDB maka sudah tentu perkembangan berkenaannya penting untuk dibincangkan.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: