Fuziah Salleh berkata pembinaan parit monsun perlu diwajibkan sambil berkata amat sukar untuk bertemu yang dipertua Majlis Perbandaran Kuantan.
KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) digesa meletakkan syarat wajib terhadap mana-mana projek perumahan baharu untuk mempunyai parit monsun jika mahu ia diluluskan.Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata bandar itu berdepan kekurangan parit monsun yang serius dan mendakwa ia kerana MPK tidak pernah mempunyai syarat wajib.
Beliau berkata demikian di sebalik banjir yang semakin buruk di beberapa daerah di Pahang termasuk Kuantan.
Sehingga malam tadi, jumlah mangsa yang dipindahkan menghampiri 10,000 orang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam cawangan Pahang, Kol (PA) Zainal Yusof berkata Kuantan merupakan daerah paling teruk terjejas.
Fuziah berkata beliau sudah lama menerima aduan mengenai banjir kilat di kawasan kejiranan, sejak dipilih menjadi ahli Parlimen Kuantan pada 2008.
“Pemeriksaan saya mendapati tidak ada perancangan sistem perparitan yang betul di kawasan terlibat.
“Sebagai contoh, dari jambatan di Tanjung Lumpur sepanjang jalan ke Kempadang, terdapat banyak kawasan perumahan baharu tetapi semuanya dibina tanpa parit monsun.
“Pada dasarnya semua parit di kawasan perumahan tiada saluran keluar.”
Katanya, beliau mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang kemudiannya bersetuju isu itu serius.
“Tetapi perkara yang melibatkan majlis perbandaran tempatan adalah sukar di Kuantan dan yang dipertua majlis adalah orang yang sangat sukar untuk ditemui,” katanya.
Beliau mendakwa dalam tempoh 5 tahun lalu, beliau hanya dapat berjumpa yang dipertua majlis sekali, itupun hanya 15 minit dan sukar untuk mengadakan pertemuan dengan ahli majlis MPK lain.
“Dalam beberapa minggu lalu terdapat satu isu melibatkan penjaja dan saya tidak dapat berjumpa dengan pengarah yang menguruskan bahagian tersebut. Dia tidak dapat meluangkan masa setengah jam dalam jadual ‘sibuknya’ untuk berjumpa saya.”
Read More / Baca Lagi >>