Baiah dengan Allah pun mereka langgar, PAS persoal kontrak Amanah ikat calon... infomalay12.blogspot.com

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan sekiranya wakil rakyat mahu meninggalkan parti.
tuan-ibrahim-amanahTimbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau tidak percaya dengan akujanji pemimpin Amanah bagi menghalang calon parti itu lompat parti.
Menurutnya, pemimpin Amanah ketika bersama PAS dahulu juga pernah berjanji tidak lompat parti dan melakukan baiah (ikrar) atas nama Allah, namun tetap menyertai Amanah yang merupakan parti serpihan PAS susulan muktamar 2015.
“Kita ikat ahli kita dengan baiah, bukan dengan kita sahaja tetapi dengan Allah. Lalu parti Amanah pun kata, kami akan buat baiah. Tukang lompat akan buat baiah, aku tidak percaya.
“Tolong jangan kecewakan rakyat, PAS buat baiah, orang hendak lari kita tidak boleh buat apa-apa. Kita serah kepada Allah,” katanya dalam sebuah forum di Temerloh, malam tadi.
Sebelum ini, Amanah dan PPBM berkata mereka mengkaji cadangan kontrak untuk mengikat calonnya daripada melompat parti sekiranya menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad bagaimanapun berkata kontrak parti itu tidak seperti mana diamalkan PAS yang mensyaratkan seseorang wakil rakyat menceraikan isteri sekiranya lompat parti.
Lafaz taklik dan sumpah baiah yang diwajibkan ke atas calon PAS di Kelantan pada PRU antara lain menghendaki mereka yang memenangi kerusi kekal dengan parti itu, atau menceraikan isteri mereka dengan talak tiga.
Ia diperkenalkan ketika PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995 apabila kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.
PAS sebelum ini menuduh beberapa pemimpin Amanah melanggar baiah tersebut, termasuk Adun Salor, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, tidak mustahil sekiranya calon-calon dari parti gabungan PH akan lompat parti dan menyertai PPBM sekiranya terdesak memandangkan memperoleh majoriti kerusi bertanding di Parlimen.
“Terus terang saya sebutkan, tidak mustahil bila parti baru ini dalam keadaan terdesak, mereka akan ambil sahaja calon. Kerusi ada tetapi calon tidak ada.
“Sesiapa sahaja yang kata, saya ahli setia akan dipilih menjadi calon. Lepas menang, lompat,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: