Rakyat mahu tahu sama ada gabungan Mahathir-Anwar akan mengulangi dasar penerapan nilai Islam, soal Tawfik Ismail.
Seorang bekas ahli Parlimen mahu Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan sama ada gabungan itu bersetuju dengan dasar penerapan nilai Islam yang pernah dilaksanakan bekas perdana menteri itu bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerajui kerajaan dulu.
Tawfik Ismail yang pernah menjadi wakil rakyat Sungai Benut pada tahun 1986-1990, berkata dasar itu merupakan punca pelbagai perpecahan berlaku di kalangan rakyat Malaysia, malah di kalangan umat Islam sendiri.
Menjelang konvensyen PH hujung minggu, Tawfik berkata rakyat Malaysia berhak tahu pendirian gabungan itu mengenainya.
“Sementara idea menerapkan nilai Islam itu sesuatu yang baik, pelaksanannya dilakukan tanpa banyak berfikir,” kata anak kepada bekas timbalan perdana menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, kepada FMT.
“Mahathir dan Anwar banyak membawa idea besar tetapi mereka gagal dalam pelaksanaan,” kata Tawfik.
Dasar Penerapan Nilai Islam merupakan gagasan yang diperkenalkan pada 1985, dan dilihat usaha mematahkan pengaruh PAS dan menonjolkan kerajaan pimpinan Umno sebagai mengutamakan Islam.
Tawfik berkata apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kuasa dan memperkenalkan Islam Hadhari, kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar memperlekehkannya.
“Apa jaminan kedua-dua mereka sudah berubah pada 2018? Inilah bahaya dalam memberi kepercayaan kepada Pakatan. Ia seperti menunggang harimau.”
Tawfik turut mempersoalkan PH kerana tidak tegas dalam menentang usaha Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi memberikan kuasa menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam.
“Amat mendukacitakan, ahli Parlimen Islam dalam Pakatan tidak melawan Hadi,” kata Tawfik yang menganggap usul yang dibawa Hadi ke Dewan Rakyat itu sebagai melanggari Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya wakil rakyat Pakatan tidak boleh mematuhi ikrar mereka untuk mempertahankan perlembagaan, tidak banyak beza antara Barisan Nasional dan Pakatan.
“Usaha menarik undi Melayu dan ketakutan kedua-dua belah melawan versi Islam yang dibawa ulama mengecewakan Melayu progresif dan juga kaum lain.”
Ditanya mengenai golongan Melayu yang tidak setuju dengan aliran pemikiran “progresif” yang dibawanya, Tawfik mempersoalkan sama ada mereka menjadi lebih konservatif disebabkan pilihan sendiri atau paksaan.
“Melayu progresif tidak pernah diberikan peluang menawarkan idea mereka kepada pengundi,” katanya.
PH akan mengadakan konvensyen Ahad ini, kali kedua gabungan itu berkumpul sejak ditubuhkan 2015.
Sejak itu, gabungan itu turut disertai PPBM sebagai anggota ke-4, di samping PKR, DAP dan Amanah.