Firma penyelidikan hartanah global, Knight Frank mendapati sewa pejabat utama di ibu negara jatuh 0.4 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding suku sebelumnya.
Pengarah Eksekutif Korporat Knight Frank Malaysia, Teh Young Khean berkata, situasi tersebut berlaku ekoran pertambahan ruang pejabat baharu walhal permintaan berada pada tahap lemah.
“Dalam pasaran yang dipimpin oleh penyewa ini, pemilik terus fleksibel apabila mereka berusaha mengekal dan meningkatkan penghunian bangunan mereka,” jelasnya dipetik dari akhbar Berita Harian semalam.
Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mac lalu mengingatkan tentang lambakan pusat beli-belah dan bangunan komersial berbanding rumah mampu milik.
BNM turut mengunjurkan ruang pejabat kosong akan meningkat kepada 32 peratus menjelang 2021 berbanding 18 peratus suku pertama tahun ini.
Dilaporkan, sebanyak 140 pusat beli-belah baharu akan memasuki pasaran pada 2021 terutama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Antara lokasi projek pembangunan komersial dan unit kediaman di Greater KL iaitu Kuala Lumpur dan sekitarnya adalah seperti di sepanjang Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Bangsar South.