Naib Presiden Pakatan Harapan, Salahuddin Ayub mempersoalkan apakah dengan pintu rundingan antara Felda dengan syarikat terbabit tanpa melibatkan mahkamah, seolah-olah ada perkara yang cuba disembunyikan?
Katanya, penyelesaian lebih tegas perlu diambil bagi memperlihatkan keseriusan dengan membawa yang terlibat ke muka pengadilan.
“Kononnya tidak mahu berpanjangan dan selesai di luar mahkamah. Ini saya rasa jawapan tidak bertanggungjawab.
“Apa yang penting sekarang adalah tindakan drastik. Saya tidak dengar lagi tindakan benar-benar serius diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
“Ini semua saya rasa, tidak boleh diterima. Ini satu sandiwara untuk mengaburi mata rakyat sementara waktu ini,” katanya, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, mengharapkan pintu rundingan penyelesaian isu hak milik tanah Felda tanpa perlu ke mahkamah berikutan prosesnya yang panjang.
Tegasnya, komitmen dan tanggungjawab tinggi perlu diperlihatkan kerajaan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Beliau mempersoalkan, adalah mustahil tanah Felda melibatkan aset sebegitu besar dijual tanpa pengetahuan pihak tertinggi Felda.
“Saya rasa satu kecuaian besar berlaku. Felda bawah Jabatan Perdana Menteri dan perdana menteri penasihat Felda. Berlaku proses jualan, tetapi Kabinet tidak tahu.
“Adakah mereka semua ini benar-benar tidak tahu pada masa Felda dijual kepada syarikat swasta? Adakah atas alasan terlepas pandang atau kecuaian?,” soalnya