Menurut Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan skandal tanah Felda.
“Kita sedang menyiasat perkara ini menerusi laporan polis yang dibuat.
“Mengenai beberapa individu yang dipanggil saya tidak boleh dedahkan namun kita akan panggil sebaik saja pulang ke tanah air,” katanya kepada akhbar pro kerajaaan itu.
Fuzi turut menjangkakan siasatan akan mengambil masa agak lama kerana memerlukan penelitian.
“Ini juga bergantung kalau ada yang kita dapat hubungi lebih cepat siasatan dijalankan.
“Tetapi siasatan ini akan mengambil masa lama dan penelitian namun begitu polis akan menjalankan secepat mungkin.”
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim tidak menolak kemungkinan polis akan memanggil Isa.
Transaksi pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak yang bernilai RM270 juta kepada syarikat Synergy Prominade Sdn Bhd dilakukan ketika Isa menjadi pengerusi Felda sejak 2011 hingga awal Januari 2017.
Isa juga menjadi pengerusi bukan eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) pada 2013 sehingga 2017.
Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures (FGV) pada Jun lalu sebelum dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang mencetuskan bantahan ramai.